Read Time:1 Minute, 12 Second
SANDAKAN: Kerajaan Pusat akan memperhalusi pelaksanaan e-invois serta cukai barang dan perkhidmatan (SST) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas dengan proses baharu itu.
Ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Warga Karamunting di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tujuan e-invois itu baik, namun pelaksanaannya yang masih baharu menjadi masalah kepada syarikat kecil.
Katanya, banyak rungutan yang diterima membabitkan peniaga dan masyarakat setempat termasuk daerah ini, selain Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Saya tahu ada banyak keluhan tentang e-invois dan SST. Ya memang perlu penambahbaikan.
“Tapi saya tak boleh umum sekarang sebab ini masa kempen. Kita akan buat penyesuaian yang perlu, sama ada untuk e-invois dan pelaksanaan SST,” katanya.
Program yang diadakan di Dewan Hakka itu dihadiri lebih 1,000 orang.
Dalam ucapan sama, Anwar menjelaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak bertanding untuk membentuk kerajaan negeri Sabah, namun berjanji akan menyokong segala usaha yang memastikan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan berjalan baik demi kesejahteraan Sabah.
Anwar berkata, isu perniagaan termasuk e-invois, SST dan tuntutan 40 peritus hasil Sabah, hanya boleh diselesaikan melalui rundingan konsisten dan komitmen Bersama.
“Kita bukan datang sini nak kata semua boleh selesai serta-merta. Tetapi kalau runding cara baik, tak ada masalah. Wakil rakyat Sabah mesti bersuara dan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.
“Itu tanggungjawab kita untuk mencari penyelesaian. Saya tak boleh kata lebih kerana kempen, tetapi dasar kita jelas mahu bantu Sabah,” katanya.






