Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kerajaan Persekutuan terus komited selesai isu air, elektrik Sabah – Armizan

Read Time:3 Minute, 14 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Kerajaan Persekutuan terus komited membantu Sabah menyelesaikan isu legasi berkaitan bekalan air dan elektrik demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, walaupun tanggungjawab kawal selia bekalan air dan tenaga kini di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, komitmen Kerajaan Persekutuan tetap diteruskan melalui pelbagai peruntukan dalam Belanjawan 2026.

Katanya, ini termasuk peruntukan pembangunan (DE) berjumlah RM6.9 bilion yang diumumkan khusus untuk Sabah dalam pembentangan Belanjawan Persekutuan 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat.

“Bekalan air merupakan tanggungjawab Negeri sejak sekian lama, manakala kawal selia tenaga elektrik pula telah diambil alih oleh Sabah secara rasmi pada tahun 2024. Namun, memandangkan kedua-dua isu ini melibatkan keperluan peruntukan yang besar serta merupakan isu legasi, Kerajaan Persekutuan terus komited bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan penyelesaian jangka panjang dapat dicapai,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani MoU Bagi Pembangunan Pawagam Komuniti 10 Star Cinemas bersama WSG Properties dan WK Konsortium di Palm Mall di sini, pada Sabtu.

Menurut Armizan, antara komitmen utama yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 melibatkan subsidi dan projek pembangunan sektor tenaga bernilai keseluruhan lebih RM2 bilion bagi Sabah.

Antaranya, subsidi berjumlah RM1.2 bilion bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik di negeri ini meliputi RM880 juta untuk subsidi sokongan tarif, bahan api dan solar berskala besar meningkat berbanding RM700 juta pada tahun lalu.

Selain itu, RM189.8 juta diperuntukkan untuk projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, manakala RM128 juta lagi disalurkan kepada Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi pelaksanaan projek sambungan bekalan elektrik.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM765 juta bagi pembinaan Projek Southern Link rangkaian grid elektrik sepanjang 330 kilometer dengan kapasiti 275 kilovolt (kV) yang menghubungkan Pantai Barat hingga Pantai Timur Sabah.

“Fasa pertama sepanjang 60 kilometer sedang dalam pembinaan manakala peruntukan baharu ini membolehkan Fasa Kedua diteruskan melibatkan laluan Sipitang, Tenom, Kalabakan dan Tawau,” katanya.

Jelasnya, projek Southern Link ini merupakan sebahagian daripada pelan yang telah dirancang sejak tahun 1980-an bagi melengkapkan rangkaian grid elektrik di seluruh Sabah dan telah lama dipohon ketika kawal selia tenaga masih di bawah Suruhanjaya Tenaga (EC).

“Komitmen berterusan ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk membantu Sabah mengatasi isu ketidakstabilan bekalan elektrik walaupun kawal selia tenaga kini berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata majoriti pegangan saham Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) masih dimiliki oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang merupakan syarikat utiliti bersepadu bertanggungjawab dalam penjanaan, penghantaran dan pengagihan tenaga di Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi isu air pula, katanya, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2026 bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah.

“Ini termasuk projek pemasangan paip baharu di Tawau serta kerja menaik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang kini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Armizan mengalu-alukan pelaburan 10Star Cinemas di Sabah yang dianggarkan melebihi RM100 juta termasuk pembinaan enam pawagam luar bandar yang telah beroperasi.

Beliau berkata, dua lagi pawagam baharu di Kinarut dan Kundasang akan dibina dengan sasaran siap masing-masing pada tahun 2026 dan 2027. Katanya, selain menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan, pelaburan ini turut membantu pembangunan sosioekonomi serta industri kreatif negeri.

“Ia sejajar dengan pelaksanaan Program Aspirasi Pembangunan Filem Sabah (APFS) 2026/2027, yang memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur pawagam dan karya muda.

“Melalui kerjasama dengan DBAY Film Factory Sdn Bhd, dua produksi tempatan RIVY Production (“Bedilan”) dan Lapan Pagi Studio (“Bas Malam”) telah dipilih untuk menghasilkan filem pendek yang akan ditayangkan di semua rangkaian 10Star Cinemas,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Urusan WSG Group, Datuk Susan Wong Siew Guen; Ketua Pegawai Eksekutif 10Star Cinemas, Onn Norshal Hamzah; Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar; dan Datuk Juil Nuatim.

LEAVE A RESPONSE