Read Time:1 Minute, 9 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyumbangkan dua kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan replika kunci kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai simbolik penyerahan sumbangan dalam satu majlis di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun serta pegawai kanan polis dari Bukit Aman.
Mohd Khalid dalam ucapannya berkata, sumbangan dua unit kenderaan pacuan empat roda (4×4) itu bukan sekadar pemberian, malah mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Negeri terhadap aspek keselamatan Sabah.
Katanya, ia juga memperlihatkan keyakinan tinggi kerajaan terhadap keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya JSJN dalam melaksanakan tanggungjawab membanteras jenayah dadah di negeri ini.
“Dengan penyerahan kenderaan ini, kami yakin ia akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kecekapan operasi JSJN, terutama di kawasan sukar diakses serta memperkukuh keupayaan risikan dan penguatkuasaan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dadah di Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan negeri adalah tanggungjawab bersama semua pihak.
“PDRM amat menghargai sokongan padu Kerajaan Negeri Sabah serta seluruh lapisan masyarakat. Kami akan terus komited melaksanakan amanah ini dengan penuh integriti, profesionalisme dan dedikasi demi melindungi rakyat dan negara daripada ancaman dadah,” katanya.






