Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kerajaan Negeri komited perkukuh IPG Tawau, tingkat kualiti latihan perguruan


Read Time:1 Minute, 14 Second

TAWAU : Kerajaan Negeri Sabah komited untuk memperkukuh Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau sebagai pusat latihan perguruan penting di negeri ini, selaras usaha melahirkan tenaga pendidik berkualiti dan berdaya saing.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. James Ratib berkata, kerajaan negeri sentiasa peka terhadap keperluan institusi latihan perguruan, khususnya dalam aspek keselamatan, kemudahan pembelajaran serta infrastruktur sokongan.

Menurut beliau, hasil lawatan kerja ke IPG Kampus Tawau, beberapa keperluan utama telah dikenal pasti dan akan dibawa ke perhatian Kabinet Negeri selain dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan peruntukan sewajarnya.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan kemudahan di IPG Tawau berada pada tahap terbaik agar suasana pembelajaran dan latihan guru lebih selamat, selesa dan kondusif,” katanya.

Beliau berkata, antara keutamaan yang dikenal pasti termasuk penyelenggaraan pagar kampus yang telah uzur demi menjamin keselamatan warga IPG, selain cadangan pembekalan papan pintar (smart-board) bagi menyokong kaedah latihan perguruan berteraskan teknologi.

Tambahnya, usaha berkenaan selari dengan agenda pendigitalan pendidikan negeri yang memberi penekanan kepada penggunaan teknologi terkini dalam pedagogi, terutama dalam melatih bakal pendidik menghadapi cabaran pendidikan masa depan.

Dalam pada itu, James berkata, kerajaan negeri turut mengambil serius isu liputan internet dan telekomunikasi di sekitar kampus, dengan perkara tersebut akan dibawa kepada pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

“Selain aspek infrastruktur digital, kebajikan pelatih dan warga kampus turut menjadi perhatian apabila pengurusan IPG Tawau mengemukakan permohonan penyediaan bas baharu bagi menggantikan kenderaan sedia ada yang telah uzur,” katanya.

LEAVE A RESPONSE