Read Time:2 Minute, 17 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kerajaan negeri terus komited memperkukuh pembangunan sukan di negeri ini dengan menyediakan pelbagai prasarana dan insentif kepada atlet, sebagai bukti kesungguhan untuk melahirkan lebih ramai jaguh sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) yang giat membangunkan kemudahan serta penganjuran program berimpak tinggi di seluruh negeri.

“Sememangnya menjadi harapan kita untuk melihat lebih ramai atlet Sabah menyerlah di pentas kebangsaan dan antarabangsa. Malah, kerajaan sentiasa mengiktiraf pencapaian mereka dengan membelanjakan sejumlah besar peruntukan setiap tahun untuk insentif kejayaan,” katanya dalam ucapan perasmian Kejohanan Sukan Saga (SAGA) XI di Kompleks Sukan Tawau, di sini malam tadi.
Dalam program itu, Hajiji diwakili oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Alfred Angin. Hadir sama menyerikan temasya dwi-tahunan tersebut ialah Ahli Parlimen Tawau, Datuk Loh Su Fui.

Sementara itu, Hajiji berkata, penganjuran SAGA merupakan antara platform penting kerajaan bagi memastikan Sabah tidak ketandusan bakat baharu, selain berfungsi sebagai medan mencungkil atlet pelapis untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Kementerian Belia dan Sukan Negeri perlu terus mencungkil lebih ramai bakat muda melalui pelbagai program atau pertandingan di seluruh negeri. Kita mahu sukan menjadi budaya hidup masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan para atlet agar menjadikan temasya itu bukan sekadar medan memburu kemenangan, tetapi sebagai platform mempamerkan semangat juang, disiplin dan keperibadian tinggi.

“Setiap peluh yang tumpah di gelanggang adalah batu asas untuk kejayaan Sabah pada masa hadapan. Binalah nama baik daerah dan negeri kita,” katanya.
Hajiji berharap SAGA akan terus berkembang sebagai karnival sukan berprestij yang bukan sahaja menarik penyertaan masyarakat secara menyeluruh, tetapi turut memperkukuh budaya sukan di Sabah.
“Program sebegini bukan sahaja menyumbang kepada rakyat yang sihat dan cergas, tetapi juga memperkukuh usaha melahirkan lebih ramai atlet muda dan cemerlang,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap kejayaan atlet Sabah yang telah mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Farrel Glen Felix Jerus (lompat tinggi), Merrywati Manuil (silat), Evan Rich Chong (memanah) serta Jonathan John (tinju).

“Mereka adalah bukti bahawa anak-anak Sabah mampu menjadi kebanggaan negeri dan negara,” tambahnya.
Dalam pada itu, Hajiji menyeru semua peserta SAGA XI agar bertanding dengan semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi, serta menjadikan temasya itu sebagai wadah mempertingkatkan pencapaian masing-masing.
“Semoga SAGA Tawau 2025 meninggalkan kenangan manis, menyemai semangat juang, dan melahirkan generasi atlet Sabah yang terbilang di persada negeri, negara bahkan dunia,” katanya. – SABAH MEDIA