KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri akan memulakan proses penstrukturan semula secara menyeluruh ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC), melibatkan pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah.
Beliau berkata langkah ini adalah satu keperluan pentadbiran untuk mengukuhkan tadbir urus korporat dan akauntabiliti, selain menyuntik kepimpinan baharu bagi meningkatkan prestasi serta memacu pencapaian matlamat Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Matlamat kita adalah untuk menjadikan GLC sebagai pemangkin ekonomi yang berkesan dan boleh dipercayai melalui pengurusan yang kompeten, demi menjana nilai yang lebih besar kepada rakyat dan negeri,” kata Ketua Menteri.
Hajiji menekankan keperluan pasukan kepimpinan yang dinamik, profesional dan berorientasikan hasil untuk mengemudi era baharu yang dipacu oleh pelaburan strategik, pendigitalan, tenaga baharu, dan pembangunan sosial.
“Kita menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu, namun rombakan adalah perlu bagi memastikan transformasi yang berkesan dan kesinambungan. Keutamaan kita hanyalah untuk memastikan masa depan Sabah yang stabil, makmur dan terjamin selaras dengan aspirasi SMJ 2.0,” katanya.






