Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kerajaan disaran bina Kolej Komuniti di Sipitang

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran menimbang secara serius untuk membina sebuah Kolej Komuniti di daerah Sipitang.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata pembinaan kolej berkenaan penting bagi membangunkan modal insan dalam kalangan anak-anak tempatan.

Katanya, kerajaan perlu menyediakan ruang pendidikan kemahiran kepada anak-anak di luar bandar, agar mereka tidak tercicir daripada arus kemajuan negara. 

“Di Parlimen Sipitang, hasrat untuk membangunkan kolej komuniti bukanlah cerita baharu. Ia telah disebut sejak RMK-10, terus bergema di RMK-11 dan RMK-12, namun belum menjadi kenyataan. 

“Sedangkan, pembangunan TVET di Sabah amat perlahan, dengan projek baharu amat terhad dalam tempoh hampir satu dekad. Justeru, sudah tiba masanya Sipitang diberi peluang itu,” katanya.

Menurutnya, Sipitang bukan daerah kecil di hujung peta kerana ia adalah pintu selatan Sabah, bersempadan dengan Sarawak dan Brunei Darussalam. 

Di sini terletaknya Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP), nadi baharu ekonomi wilayah. 

“Sehingga kini, tiada satu pun kolej komuniti yang beroperasi di daerah kami — sedangkan keperluan kemahiran semakin mendesak.

“Anak-anak muda Sipitang terpaksa berulang alik jauh ke Beaufort dan Tenom, menempuh perjalanan 60 hingga 90 kilometer, hanya untuk mengikuti program kemahiran. 

“Ramai akhirnya kecundang bukan kerana tiada minat, tetapi kerana jarak dan kekangan,” katanya. 

Dalam pada itu, Matbali turut membangkitkan tentang peranan proaktif Angkatan Pertahanan Awam (APM), khususnya di daerah Beaufort, dalam menghadapi pelbagai kejadian termasuk bencana alam banjir.

Katanya, daerah Beaufort yang sebahagiannya dalam kawasan Parlimen Sipitang merupakan salah satu daerah di Sabah yang paling terdedah kepada bencana banjir.

Sejarah menunjukkan beberapa kejadian banjir besar telah berlaku. Antaranya pada tahun 2014, 2017, 2021 dan  2023, yang menyaksikan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan serta banyak kawasan terputus hubungan darat dan komunikasi. 

“Kita berharap kerajaan mengambil langkah proaktif ke arah memperkukuh APM lagi sebagai benteng keselamatan rakyat dan simbol kesiapsiagaan  negara dalam menghadapi cabaran bencana pada masa hadapan.

“Untuk itu, saya berharap agar APM secara keseluruhannya diberikan perhatian sewajarnya, serta peruntukan dapat ditambah bagi memastikan penambahan aset dan logistik dapat dilaksanakan, dan kenderaan sedia ada dapat diselenggara dengan baik.

“Saya juga berharap agar isu penjawatan dalam APM dapat diperhalusi semula, khususnya yang melibatkan gred jawatan Pengarah Negeri dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah. 

“Hal ini penting supaya pegawai APM yang berprestasi cemerlang dan berkualiti diberikan peluang kenaikan pangkat yang sewajarnya,” katanya.

LEAVE A RESPONSE