Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Keputusan SRU, SMU 2025 catat pencapaian Mumtaz tertinggi 10 tahun


Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Keputusan Peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) bagi tahun 2025 mencatatkan peningkatan prestasi terbaik dan amat membanggakan apabila merekodkan jumlah pelajar memperoleh pangkat Mumtaz tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, seramai 213 orang pelajar berjaya mencapai pangkat Mumtaz dalam SRU dan 85 orang pelajar pula memperoleh pangkat Mumtaz dalam Peperiksaan SMU.

Katanya, pencapaian itu sekali gus mencerminkan peningkatan kualiti dan keberkesanan pendidikan agama Islam di negeri ini.

“Kejayaan tersebut bukan sahaja hasil usaha gigih para pelajar, malah turut membuktikan dedikasi para guru, keberkesanan pengurusan sekolah serta komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam memperkasa pendidikan Islam.

“Kerajaan Negeri Sabah akan terus komited memastikan kualiti pendidikan agama sentiasa dipertingkatkan melalui penyediaan kemudahan pembelajaran yang lebih baik, infrastruktur sekolah yang kondusif serta latihan berterusan kepada para guru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SRU dan SMU 2025 di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengarah JHEAINS Datuk Jumain Abdul Ghani.

Mengulas pelajar terbaik, Arifin yang juga Exco Agama berkata, murid dari Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Beaufort, Nur Aliya Raju Karno  dinobatkan Pelajar Terbaik Negeri Sabah dalam peperiksaan SRU 2025 dengan pencapaian cemerlang 98 peratus.

“Seterusnya bagi Peperiksaan SMU KBD, pelajar terbaik ialah Balqis Nur Danisha Bahari dari SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah dengan pencapaian 94.68 peratus, manakala aliran KBT, pelajar terbaiknya ialah Muhammad Faezz Hakim Rahim dari SMAN Kunak dengan pencapaian 87.15 peratus,” katanya.

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri Sabah akan terus komited memastikan kualiti pendidikan agama dipertingkatkan melalui penyediaan kemudahan pembelajaran, infrastruktur yang kondusif serta latihan berterusan kepada para guru. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

LEAVE A RESPONSE