Read Time:1 Minute, 16 Second
KOTA KINABALU — Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan perlembagaan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40% hasil bersih yang diperoleh dari Sabah, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Dalam keputusannya, mahkamah membenarkan permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) dan mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Mahkamah turut membatalkan sebahagian keputusan yang terkandung dalam tiga Warta Persekutuan, masing-masing bertarikh 20 April 2022, 24 Disember 2023, dan 27 Ogos 2025, kerana didapati bercanggah dengan kedudukan perlembagaan mengenai pemberian khas Sabah.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid dalam prosiding terbuka.
SLS yang memfailkan semakan kehakiman tersebut pada 2022, dengan mendakwa Kerajaan Persekutuan telah melanggar Perlembagaan Persekutuan apabila gagal mengadakan semakan kadar pemberian hasil kepada Sabah setiap lima tahun sejak 1974, seperti yang diwajibkan di bawah Perkara 112D.
Dalam penghakimannya, Celestina antara lain membenarkan perintah mandamus untuk mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan satu semakan baharu bersama Kerajaan Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Perintah itu bertujuan memastikan kewajipan pembayaran Hak Tuntutan 40% kepada Sabah dilaksanakan mengikut Perkara 112C, dibaca bersama Seksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.
Mahkamah menetapkan bahawa semakan tersebut mesti diadakan dalam tempoh 90 hari, dan satu persetujuan mesti dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Berikut Adalah Keputusan penuh penghakiman






