Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Kepimpinan Warisan ‘dictatorship’, tak dengar suara akar umbi – Norazlinah – Sabah News

KOTA KINABALU: Kepimpinan Parti Warisan semasa menjadi kerajaan negeri dahulu disifatkan sebagai tidak tersusun, penuh unsur kronisme serta bersifat “dictatorship” apabila keputusan dibuat tanpa mengambil kira pandangan akar umbi.

Penyandang kerusi DUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif berkata walaupun parti tersebut pada awalnya bersemangat membawa pembaharuan selepas memenangi pilihan raya pada tahun 2018, namun pelaksanaannya gagal kerana dipengaruhi ‘dendam politik’ serta kepentingan peribadi.

“Ketika mula-mula menjadi kerajaan, mereka sangat gairah mahu membuat pembaharuan. Tapi bila terlalu bersemangat, pelaksanaan menjadi terbatas sebab adanya dendam politik, nepotisme, dan kronisme yang tak terkawal,” katanya ketika ditemui Sabah News baru-baru ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Wanita Warisan berkata banyak keputusan dibuat secara terburu-buru tanpa menilai kesan kepada rakyat, termasuk pembatalan beberapa konsesi penting.

“Kita tengok bagaimana keputusan membatalkan konsesi jalan Pan Borneo dan projek bekalan air, sangat merugikan rakyat. Infrastruktur yang sepatutnya dinikmati tergendala, malah kerajaan negeri terpaksa menanggung pampasan lebih RM300 juta,” ujarnya.

Pada Disember 2018, kerajaan negeri Warisan mengumumkan penamatan kontrak sembilan syarikat konsesi yang mengurus 58 loji rawatan air (WTP) di seluruh Sabah, kesemuanya mempunyai kontrak selama 20 tahun bermula 2013 dan operasi yang sedang berjalan. Langkah tersebut berkuat kuasa Januari 2019.

Namun, tindakan ini telah membawa kepada pampasan sebanyak RM315.2 juta kepada syarikat-syarikat terbabit dan menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan kerana peralihan pengurusan yang kurang lancar.

Mengulas lanjut, Norazlinah menegaskan, keputusan bersifat “silo” dan tidak mendengar suara akar umbi menyebabkan pentadbiran Warisan menjadi “caca-marba”.

“Bagi saya, kepimpinan Warisan ketika itu terlalu ‘over excited’. Mereka tidak mengambil kira manfaat rakyat. Keputusan banyak dibuat oleh segelintir pemimpin tanpa rundingan. Itulah sebab saya katakan ia bersifat dictatorship dan akhirnya jadi kelam-kabut,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 6 Februari 2023, Norazlinah mengumumkan keputusan keluar Warisan dan memberi sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama dua lagi ADUN iaitu Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).

Dalam pada itu, Datuk Norazlinah menyatakan keyakinan tinggi terhadap keupayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk terus menerajui Sabah dengan lebih stabil dan berkesan.

“Apabila kita lakukan sesuatu, asasnya adalah keyakinan. Melihat rekod dan pencapaian GRS, saya sangat yakin rakyat akan terus memberi peluang kepada kerajaan ini,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan Hajiji telah menunjukkan komitmen jelas dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain melaksanakan pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar.

“Kerajaan GRS membuktikan perjuangan mengembalikan hak kita dalam MA63 direalisasikan secara teratur. Di luar bandar, kami di Kunak sendiri sudah menikmati pelbagai projek termasuk pembinaan kompleks sukan, dewan masyarakat baharu, projek jeti di Pangkalan Kunak dan pengiktirafan tiga kampung yang telah lama menunggu untuk digazetkan,” jelasnya.

Beliau menegaskan, rekod dan kestabilan GRS menjadi asas kukuh untuk rakyat terus memberi mandat kepada gabungan itu pada pilihan raya negeri akan datang.

LEAVE A RESPONSE