Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Kenyataan Shafie berkait Zara didakwa hina mahkamah, ahli PKR Sabah lapor polis – Sabah News

KOTA KINABALU, 22 September – Seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Fekirie Gobet hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putatan bagi membuat laporan polis terhadap Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.

Menurut Fekirie, laporan itu dibuat berhubung kenyataan Shafie dalam satu ceramah kempen Warisan di Batu Sapi yang didakwanya jelas menghina mahkamah dan mempertikai proses undang-undang yang sedang berjalan berhubung kematian adik Zara Qairina Mahathir.

“Beliau tanpa memperdulikan proses undang-undang yang sedang berjalan terus membuat kesimpulan di khalayak dengan mengatakan ini bukan kes buli, tetapi pembunuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Fekirie berkata kenyataan itu bukan sahaja berpotensi menimbulkan persepsi dan fitnah, malah boleh mengganggu proses penghakiman serta menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap integriti sistem kehakiman.

“Spekulasi yang ditimbulkan oleh Shafie boleh mengganggu misi pencarian fakta dengan mewujudkan tekanan tidak wajar ke atas penyiasat atau koroner, serta berpotensi memesongkan penilaian bebas terhadap fakta,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan agar Presiden Warisan itu berhenti menunggang isu kematian adik Zara Qairina untuk kepentingan politik.

“Seperti yang saya kata sebelum ini, hentikan kegilaan membina istana politik di atas pusara adik Zara dan tangisan air mata keluarganya,” ujar Fekirie.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memulakan prosiding menghina mahkamah setelah meneliti secara terperinci kandungan kenyataan dikeluarkan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berhubung kes membabitkan kematian Zara Qairina .

AGC berkata, namun pihaknya akan meneliti secara terperinci kandungan kenyataan dikeluarkan Mohd. Shafie sebelum ini.

Kata AGC, pihaknya memandang serius kenyataan dikeluarkan bekas Ketua Menteri Sabah itu ketika berucap di Majlis Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada Sabtu lalu.

Shafie dilapor mempersoalkan tempoh panjang inkues, menurut klip video sebuah majlis makan malam yang tersebar.

Dalam video itu, Shafie kedengaran berkata: “Gadis itu telah meninggal dunia. Dia tidak dibuli, ia adalah pembunuhan. Berapa kali Bukit Aman menyoal saksi? Mereka telah menyoal orang yang sama.”

LEAVE A RESPONSE