Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Politik

Kenapa Harus Gaduh dengan Persekutuan? Hubungan Baik GRS-PH Perlu Diteruskan – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa hubungan baik antara kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan Persekutuan perlu dikekalkan demi kemajuan dan masa depan negeri Sabah.

Dalam sidang media pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, Hajiji berkata, kerjasama yang terjalin antara kedua-dua pihak telah membuahkan hasil yang jelas, khususnya dalam isu hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Menurut beliau, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sabah telah menerima sembilan penurunan kuasa daripada kerajaan Persekutuan, sesuatu yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

“Ini menunjukkan bahawa hubungan baik ini harus kita teruskan. Lagipun kerajaan negeri sekarang adalah GRS-PH. Takkanlah kerjasama ini kita tidak teruskan,” katanya.

Hajiji turut mengingatkan bahawa mempertahankan hak negeri tidak seharusnya membawa kepada perbalahan dengan kerajaan Persekutuan.

Katanya, walaupun penting untuk menjaga kepentingan Sabah, hal itu mesti dilaksanakan selari dengan kepentingan negara secara keseluruhan.

“Kita mesti tahu bahawa hubungan negeri dengan Persekutuan amat penting sekali untuk masa depan Sabah. Untuk kemajuan Sabah. Kenapa kita harus gaduh dengan kerajaan Persekutuan? Itu kerajaan kita juga,” ujarnya.

Beliau menekankan bahawa kepercayaan politiknya ialah untuk menuntut dan mempertahankan hak negeri secara berhemah tanpa menggugat kepentingan negara.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai penyertaan golongan muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Hajiji mengesahkan bahawa orang muda akan diberikan peluang untuk menjadi calon.

Dengan hampir 60 peratus pengundi terdiri daripada golongan muda, beliau menyifatkan penyertaan mereka dalam politik sebagai satu keperluan untuk membawa perubahan serta kesinambungan kepimpinan negeri.

Sidang media ini menjadi isyarat awal kepada kempen PRN yang dijangka berlangsung sengit, dengan tumpuan diberikan kepada sejauh mana kerjasama GRS-PH mampu diteruskan dalam landskap politik Sabah yang sentiasa dinamik.

LEAVE A RESPONSE