Read Time:3 Minute, 53 Second
Pendapat Pembaca
KENAIKAN tarif elektrik di Sabah daripada 34.52 sen kepada 39.70 sen sekilowatt jam bukan sekadar pelarasan angka di atas bil. Ia merupakan satu bentuk pemindahan beban kos syarikat utiliti kepada rakyat.
Berdasarkan tafsiran munasabah Berdasarkan purata jualan tenaga sebanyak 25 GWh sehari (bersamaan 25 juta kWh), kenaikan tarif elektrik sebanyak 5 sen daripada RM0.34 kepada RM0.39 sekilowatt jam menghasilkan tambahan hasil sekitar RM1.25 juta sehari. Dalam tempoh setahun (365 hari), peningkatan ini bersamaan RM456.25 juta setahun, yang merupakan pendapatan tambahan langsung kepada Sabah Electricity Sdn Bhd hasil pelarasan kadar tarif semasa.
Secara keseluruhan, pada kadar baharu RM0.39/kWh, anggaran hasil tahunan mencecah RM3.56 bilion, berbanding RM3.10 bilion di bawah kadar lama RM0.34/kWh. Ini menunjukkan jurang peningkatan hasil sekitar RM456 juta setahun, yang menimbulkan persoalan penting mengenai bagaimana tambahan dana ini akan digunakan untuk menaik taraf sistem, menambah kapasiti penjanaan dan memastikan gangguan bekalan elektrik di Sabah dapat dikurangkan secara berperingkat.menjana angka jutaan ringit tambahan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity).
Namun persoalan utama ialah: ke mana wang tambahan ini akan disalurkan?
Walaupun kenaikan ini masih dilihat lebih rendah berbanding tarif di Semenanjung Malaysia — di mana kadar tarif domestik bermula 27.03 sen (sehingga 1,500 kWj) berbanding caj baharu di Sabah iaitu 22.02 sen bagi 1–200 kWj sebulan — terdapat perbezaan kaedah kiraan berasaskan blok yang menjadikan sistem ini rumit untuk difahami oleh pengguna.
Namun yang pasti, setiap hujung bulan bil elektrik akan meningkat, dan beban ini akhirnya ditanggung oleh rakyat.
PERSOALAN RAKYAT – KE MANA KENAIKAN INI AKAN DIGUNAKAN?
Saban hari, pengguna elektrik di Sabah mengadu tentang kekerapan gangguan bekalan elektrik.
Pada September 2025, Sabah diuji dengan gangguan besar di Pantai Timur selepas talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud mengalami kerosakan.
Berdasarkan data April 2025, SAIDI (Tempoh Purata Gangguan Elektrik) di Sabah mencatat sekitar 75 minit bagi setiap pelanggan, dengan gangguan sering berpunca daripada faktor haiwan dan kerosakan kabel.
Namun, semakan angka menunjukkan prestasi ini semakin baik berbanding tahun sebelumnya:
2024: 203 minit
2023: 250 minit
2022: 286 minit
Walaupun ada penambahbaikan statistik, kejadian terputus bekalan secara luar jangka hampir setiap hari dilaporkan, yang pastinya mengundang rasa tidak puas hati rakyat.
Lebih membimbangkan, setiap pengumuman kenaikan tarif akan memberi kesan rantaian kepada harga barangan, apabila peniaga yang menanggung kos input lebih tinggi akan memindahkannya kepada pengguna akhir.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketiadaan pelan komunikasi yang jelas, serta penguatkuasaan dalam tempoh yang singkat.
Tambahan pula, masyarakat Cina bakal menyambut Tahun Baharu Cina, manakala umat Islam akan menyambut Ramadan dan Syawal — waktu di mana kos sara hidup sememangnya meningkat.
SOLAR, BATERI DAN PERBEZAAN HARGA
Media melaporkan pada September 2024, projek Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 MW di Lahad Datu bernilai RM645 juta telah siap pada Julai 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Mohd Yaakob Jaafar, berkata projek yang bermula pada September 2024 itu beroperasi dengan simpanan tenaga 400 megawatt jam (MWj).
Menurut beliau, sistem ini mampu menampung 50 MW tenaga rizab pada waktu puncak dan akan mencapai kapasiti penuh 100 MW pada awal Ogos.
“Dengan adanya bateri ini, bekalan kepada pengguna di Pantai Timur Sabah yang berkurangan sedikit sebanyak dapat diatasi,” katanya selepas lawatan tapak ke lokasi BESS.
Namun, apakah status sebenar pengoperasian projek ini?
Berapa kos penyelenggaraan?
Berapa jumlah MW yang telah berjaya disimpan dan dialirkan ke dalam grid setakat ini?
Ironinya, projek perintis di Terengganu dengan kapasiti sama 100MW/400MWh yang dibangunkan oleh TNB (yang juga pemegang saham terbesar Sabah Electricity) dilaporkan hanya bernilai sekitar RM300 juta.
Mengapa terdapat perbezaan kos yang begitu besar bagi projek yang hampir serupa?
Sabah Electricity wajar memberikan penjelasan telus, apatah lagi isu ini telah diperdebatkan di Parlimen pada Ogos tahun lalu.
Kita tidak mahu angka-angka ini dijadikan alasan untuk menjustifikasikan kenaikan tarif.
SUBSIDI YANG DITAMPUNG PUSAT
Kerajaan Persekutuan ketika ini dilaporkan menyalurkan subsidi elektrik kira-kira RM700 juta setahun kepada Sabah atau RM3.5 bilion bagi tempoh lima tahun bagi menampung jurang kos penjanaan dan tarif.
Kenaikan tarif ini dikatakan bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada subsidi tersebut. Namun, tiada angka jelas mengenai:
• Berapa subsidi akan dikurangkan
• Bila pengurangan itu bermula
• Sama ada penjimatan itu akan dipulangkan semula kepada Sabah dalam bentuk pelaburan tenaga
Maka persoalan yang wajar ditanya ialah:
Adakah kenaikan ini benar-benar untuk membaiki sistem, atau sekadar menampung defisit operasi?
Rakyat tidak menolak pembaharuan. Namun pembaharuan mesti hadir bersama ketelusan, sasaran yang boleh diukur, dan jaminan prestasi.
Tanpa itu, kenaikan tarif ini hanya akan dilihat sebagai satu lagi kos yang dipindahkan kepada pengguna, tanpa kepastian bahawa bekalan elektrik di Sabah akan menjadi lebih stabil, adil dan mampan.
(Artikel Pendapat Pembaca mencerminkan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian penerbitan ini)






