Read Time:1 Minute, 23 Second
BEAUFORT: Program Kem Kepimpinan Generasi MADANI Siri 1 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort berjaya mencapai matlamat dalam membentuk pelajar yang berwibawa, berjati diri kukuh serta memiliki semangat patriotisme yang tinggi.
Program selama tiga hari itu berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort II dengan penyertaan 120 pelajar Tingkatan Empat dan Enam daripada empat sekolah menengah di daerah ini termasuk SMK Beaufort, SMK Beaufort II, SMK Gadong dan SMK Kota Klias.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Beaufort, Mohd Nizam Awang Maslien, berkata program berkenaan merupakan salah satu inisiatif PPD Beaufort bagi melahirkan generasi pelajar yang berdisiplin, berdaya saing serta mempunyai semangat kepimpinan tinggi berteraskan nilai-nilai MADANI.
“Program ini bukan sekadar membina jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar, malah turut menanam nilai kesukarelawan serta tanggungjawab sosial agar mereka mampu menjadi ejen perubahan positif di sekolah dan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang kem termasuk ceramah motivasi, latihan dalam kumpulan, aktiviti fizikal dan simulasi kepimpinan bagi mengasah potensi peserta sebagai pemimpin masa depan.
Katanya lagi, maklum balas positif diterima daripada pelajar dan guru pengiring yang menyifatkan kem berkenaan bukan sahaja memberi pengalaman baharu, tetapi turut berjaya menyemai nilai MADANI dalam diri mereka.
Dalam majlis penutupan program itu, Mohd Nizam turut menyeru semua peserta supaya menjadi duta kepada usaha membanteras perbuatan buli dan gangguan sesama pelajar di sekolah masing-masing.
Beliau turut mengingatkan agar pelajar sentiasa peka terhadap isu keselamatan dan kesejahteraan di persekitaran sekolah.
Menurutnya, PPD Beaufort akan meneruskan serta memperluas pelaksanaan program seumpama itu pada masa akan datang bagi memastikan generasi muda terus dibentuk dengan nilai kepimpinan, disiplin dan kualiti diri yang tinggi.






