Kelonggaran Kod Etika Pemakaian di Kaunter Kerajaan Dibenarkan Untuk Kes Kecemasan, Luar Norma Biasa – KSN
Read Time:1 Minute, 9 Second
Putrajaya : Kerajaan memaklumkan bahawa kelonggaran terhadap kod etika pemakaian ketika berurusan di kaunter dan pejabat kerajaan dibenarkan bagi kes kecemasan dan di luar norma biasa, bagi memastikan hak rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan segera tidak dinafikan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, garis panduan berkaitan kod etika berpakaian itu telah digariskan di bawah Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025: Pemantapan Pengurusan Perhubungan Pelanggan Sektor Awam, yang berkuat kuasa mulai 20 Januari 2025.
Beliau berkata, pada asasnya, pemakaian sopan dan bersesuaian selaras dengan Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan perlu dipatuhi oleh semua pelanggan ketika berurusan di kaunter dan pejabat kerajaan.
“Namun, bagi perkhidmatan barisan hadapan seperti anggota keselamatan, kesihatan dan lain-lain perkhidmatan yang berurusan terus dengan pelanggan, kelonggaran etika berpakaian akan diberikan dalam situasi kecemasan dan di luar norma biasa bagi memastikan pelanggan tidak dinafikan hak mendapatkan perkhidmatan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara contoh urusan kecemasan termasuk laporan kemalangan, kebakaran serta bencana, yang boleh mengancam nyawa dan harta benda.
Bagi urusan perkhidmatan biasa pula, katanya, Ketua Jabatan diberi kuasa menggunakan budi bicara sewajarnya untuk menentukan etika pemakaian yang sopan dan bersesuaian berpandukan garis panduan sedia ada.
Tambah beliau, perkhidmatan awam akan terus menambah baik aspek perhubungan pelanggan bagi memastikan akses serta penyampaian perkhidmatan yang lebih mesra, cekap dan responsif, selaras dengan prinsip Ihsan dalam nilai MADANI.






