Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kekosongan kerusi Parlimen tertakluk kepada Speaker – SPR

Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Pilihan raya kecil akan diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya berlaku kekosongan kerusi Parlimen, tertakluk kepada pengesahan rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, penentuan kekosongan kerusi adalah di bawah bidang kuasa Speaker dan SPR hanya akan bertindak selepas menerima notis rasmi.

“Keputusan untuk menentukan sesuatu kerusi itu kosong atau tidak adalah di bawah Speaker Parlimen. Jadi, kami menunggu keputusan daripada Speaker, dan jika berlaku kekosongan, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh notis diterima,” katanya.

Menjawab pertanyaan media mengenai kerajaan Persekutuan telah mencapai tempoh matang lebih tiga tahun dan tidak perlu diadakan pilihan raya kecil, Ramlan menegaskan perkara itu akan diputuskan oleh SPR.

“Yang itu SPR akan putuskan,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian selepas Sidang Media Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mendesak dua Ahli Parlimen supaya mengosongkan kerusi Parlimen mereka jika bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRN ke-17 nanti.

Beliau menegaskan, tindakan Shahelmey Yahya (Ahli Parlimen Putatan) dan Andi Muhammad Suryady Bandi (Ahli Parlimen Kalabakan) itu tertakluk di bawah Akta Anti Lompat Parti sekiranya mereka mahu bersama GRS pada PRN Sabah nanti.

Sementara itu, ketika mengulas cadangan agar pengundi Sabah di Semenanjung dibenarkan mengundi secara pos, Ramlan menjelaskan SPR belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

“Buat masa ini belum ada keputusan. Pengundi Sabah yang berada di luar negeri masih perlu pulang untuk mengundi. Keputusan kekal seperti asal,” katanya.

Beliau menambah, SPR telah mengambil kira kemudahan logistik dan memastikan proses pengundian tidak bertembung dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pengundian akan diadakan pada hari Sabtu. Insya-Allah tidak akan mengganggu peperiksaan itu,” ujarnya.

LEAVE A RESPONSE