Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kebakaran musnahkan rumah dan bengkel di Sandakan

Read Time:1 Minute, 5 Second

SANDAKAN : Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran besar yang memusnahkan sepenuhnya sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal dan sebuah bengkel membaiki kereta di Taman Fulliwa, Batu 3 ½, di sini awal pagi tadi.

Kebakaran yang dilaporkan berlaku sekitar jam 4.42 pagi itu menyebabkan keseluruhan struktur bangunan berkeluasan 50×50 kaki persegi hangus terbakar.

Dua buah kenderaan turut rosak akibat terkena bahangan api.

Komander Operasi, PBK I Alan Ayuh, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bergegas ke lokasi dan tiba dalam tempoh tiga minit, iaitu pada jam 4.45 pagi.

“Setibanya di lokasi, api sudah marak membakar keseluruhan struktur. Pasukan segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan air,” katanya.

Beliau berkata, sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan lori tangki yang turut dikerahkan ke lokasi bagi memastikan tekanan air mencukupi sepanjang operasi.

Sementara itu, Ketua BBP Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung, memaklumkan operasi berkenaan melibatkan seramai 15 anggota bomba bersama dua jentera, satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan satu lori tangki.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.02 pagi dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 6.09 pagi. Tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan oleh pihak bomba. – SABAH MEDIA / FOTO JBPM

LEAVE A RESPONSE