Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

KCCI kukuhkan pembangunan keusahawanan, bantu jayakan agenda Sabah First – Ewon

Read Time:2 Minute, 51 Second

PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata Dewan Perniagaan dan Perindustrian KadazanDusun (KCCI) merupakan antara rakan strategik utama kerajaan dalam memperkukuh pembangunan keusahawanan dan menjayakan agenda Sabah First.

Ewon yang juga merupakan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah menjelaskan KCCI bukan sahaja bertindak sebagai suara kepada usahawan tempatan tetapi turut memainkan peranan penting dalam membina jaringan perniagaan serta mengukuhkan ekosistem keusahawanan negeri melalui penyertaan rakyat Sabah dalam sektor industri, perniagaan dan pelaburan.

“Agenda Sabah First tidak hanya dipikul oleh kementerian tetapi harus menjadi agenda bersama seluruh ekosistem keusahawanan termasuk KCCI, dewan perniagaan dan persatuan industri.

“Kita mahu melihat rakyat Sabah sebagai pemilik ekonomi, bukan sekadar pemerhati,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertabalan dan Aku Janji Ahli Jawatankuasa KCCI, di sini, semalam.

Ewon berkata, dasar yang beliau perkenalkan ketika menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini ialah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara.

“Antara yang dilaksanakan ialah skim khusus seperti BEEP Plus untuk Sabah dan Sarawak, skim pembiayaan usahawan tamu dan pembangunan Tamu Desa selain pelantikan wakil dari kedua-dua wilayah sebagai penyumbang input kepada kementerian.

“KCCI turut menjadi sebahagian daripada pelantikan strategik tersebut.

“Tapi itu hanya sejarah dan sekarang ini kita mahu membina sejarah baharu Kerajaan Perpaduan Sabah menerusi Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah,” katanya.

Ewon berkata, antara yang akan diperjuangkan di kementerian itu ialah agenda Sabah First yang akan menjadi asas dalam membangunkan tiga ekosistem utama negeri: pelaburan, perniagaan dan keusahawanan, selain memperkukuh standard serta kualiti produk dan perkhidmatan PMKS Sabah.

Beliau menjelaskan bahawa peningkatan kualiti produk, pensijilan dan standard perkhidmatan PMKS juga menjadi fokus agar usahawan Sabah bersedia menghadapi persaingan di pasaran lebih luas.

“Perjuangan Sabah First juga berkait rapat dengan agenda 40 peratus hasil negeri. Kita mahu tahu sejauh mana syarikat-syarikat luar yang beroperasi di Sabah menyumbang kembali kepada Sabah,” katanya.

Sebab itu katanya, antara perkara yang beliau bangkitkan semasa kunjungannya ke KKIP dan POIC ialah mengenai pembayaran cukai korporat oleh syarikat luar yang beroperasi di kedua-dua kawasan perindustrian tersebut.

“Saya bertanya sejauh mana cukai korporat dibayar kepada Sabah kerana ini teras utama perjuangan kita dalam menuntut hak 40 peratus tersebut dikembalikan kepada rakyat. Sabah mesti menikmati pulangan setimpal daripada pelaburan yang berlaku dalam negeri,” katanya.

Beliau menegaskan komitmennya untuk memastikan lebih ramai rakyat Sabah menikmati pendapatan yang sewajarnya bukan sahaja sebagai pemilik perniagaan tetapi juga sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam syarikat pelaburan domestik mahupun antarabangsa yang beroperasi di negeri ini.

“Sabah terlalu lama digambarkan sebagai negeri miskin dengan banyak daerah miskin. Perkara ini boleh diubah hanya jika kita mencipta peluang pendapatan kepada rakyat. Sabah harus dibina oleh rakyat Sabah dan hasilnya mesti kembali kepada rakyat Sabah,” katanya.

Ewon turut menjelaskan bahawa pemindahan portfolio pengangkutan termasuk Sabah Ports Authority, Jabatan Keretapi dan Jabatan Dermaga ke bawah kementerian akan memudahkan penyelarasan strategi pelaburan dan keusahawanan, sekali gus memperkemas penyampaian perkhidmatan serta memudahkan urusan pergerakan logistik pelaburan.

Beliau mengalu-alukan kerjasama berterusan KCCI dan dewan-dewan perniagaan lain dalam memberi input kepada kementerian secara konsisten bagi memperkukuh hala tuju pembangunan ekonomi negeri.

“Selagi saya diberi mandat memimpin kementerian ini, agenda Sabah First akan kekal menjadi landasan utama. Ia tidak akan berjaya sekiranya hanya kementerian yang bergerak tetapi harus dipikul bersama KCCI, dewan perniagaan, pemain industri dan seluruh ekosistem keusahawanan,” katanya.

Ewon berkata beliau akan mengunjungi semua agensi di bawah kementerian dalam tempoh dua minggu ini bagi memastikan pelaksanaan dasar dan tumpuan ekonomi negeri dapat digerakkan sepenuhnya seawal Januari tahun hadapan.

LEAVE A RESPONSE