Read Time:1 Minute, 29 Second
SANDAKAN: Kawasan Konservasi Sungai Pin (SPnCA) di Kinabatangan yang sebelum ini kurang dikenali, kini menarik perhatian pencinta burung dan aktivis alam sekitar sempena Festival Burung Borneo ke-15 yang berlangsung di Rainforest Discovery Centre (RDC), di sini.
Festival selama dua hari yang berakhir Ahad (26 Okt) itu menghimpunkan peminat alam semula jadi, penyelidik dan kumpulan pemuliharaan hidupan liar bagi meraikan kepelbagaian spesies burung di Borneo.
Antara pempamer yang mencuri perhatian ialah SKG Green Sdn Bhd, yang mengetengahkan keunikan spesies jarang ditemui di dalam kawasan SPnCA.
Kawasan seluas 2,632 hektar itu meliputi hutan riparian dan tanah gambut, serta menjadi habitat penting kepada 28 spesies burung dilindungi, termasuk beberapa spesies enggang dan bangau yang kini semakin terancam.
Antaranya Enggang Bulu (Berenicornis comatus), Enggang Kedut (Rhabdotorrhinus corrugatus) dan Bangau Storm (Ciconia stormi) yang dikategorikan sebagai terancam, selain Enggang Badak (Buceros rhinoceros) dan Enggang Kaki Hitam (Anthracoceros albirostris) yang berada dalam kategori mudah terjejas.
Terletak sepanjang 30 kilometer di tebing Sungai Kinabatangan, SPnCA berfungsi sebagai koridor penting yang menghubungkan Hutan Simpan Pin Supu dan Santuari Hidupan Liar Lembah Kinabatangan laluan utama bagi pelbagai spesies burung dan hidupan liar lain.
Ketua Pegawai Eksekutif SKG Green, Philipa Datuk Wilfred Mojilis, berkata kawasan itu menjadi simbol harapan untuk kelangsungan pelbagai spesies burung jarang ditemui.
“Kawasan Konservasi Sungai Pin membuktikan bahawa pemuliharaan dan pertanian mampan boleh wujud seiring jika diurus secara bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa SPnCA bukan hanya habitat kepada burung, tetapi juga menjadi tempat perlindungan bagi 17 spesies mamalia dilindungi seperti orang utan Borneo, monyet probosis dan tenggiling Sunda, serta lebih 500 spesies tumbuhan endemik di Borneo.
Penyertaan SKG Green dalam festival ini memperlihatkan komitmen berterusan syarikat untuk mempromosikan usaha pemuliharaan dan eko-pelancongan, menjadikan SPnCA bukan sekadar kawasan perlindungan hidupan liar, tetapi juga destinasi alam semula jadi mampan di Sabah.






