Read Time:1 Minute, 44 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
PENAMPANG: Syarikat konsesi air Jetama Sdn Bhd terus memperkukuh peranan sebagai peneraju sektor tenaga di negeri ini menerusi pelaksanaan dua projek solar baharu yang menyumbang secara langsung kepada agenda penyahkarbonan dan sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih sifar menjelang 2050.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata, projek solar terapung di Empangan Babagon dan Batu Sapi Sandakan berupaya membantu menambah kapasiti tenaga boleh baharu ke dalam sistem grid Sabah.
Dua projek solar itu adalah Projek Solar Terapung 13.21MegaWatt (MW) di Empangan Babagon dan Projek Solar 15MW di Batu Sapi, Sandakan.
“Dengan jumlah MW di dua projek ini, Jetama menambah 28.21MW kapasiti tenaga boleh baharu ke dalam sistem grid Sabah.
“Penambahan itu menjadikan keseluruhan kapasiti penjanaan solar di bawah inisiatif Jetama kini mencecah 38.21MW termasuk ladang solar 10MW di Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran dua projek solar berkenaan di Empangan Babagon di sini pada Rabu.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun.
Ahmad Naim berkata, projek solar terapung di Empangan Babagon menjadi antara pencapaian paling signifikan apabila dilaksanakan di atas badan air empangan bekalan air terawat, sekali gus memperkenalkan konsep inovatif ‘floating solar on potable water’ di Sabah.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan aset sedia ada, malah menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon melalui penghasilan tenaga bersih yang lebih mampan dan mesra alam.
Menurutnya, pelaksanaan kedua-dua projek itu juga selari dengan National Energy Transition Roadmap (NETR), New Industrial Master Plan 2030 serta Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) yang menekankan peningkatan kapasiti tenaga boleh diperbaharui dan penyahkarbonan sektor tenaga.
“Selain menyokong komitmen nasional ke arah net-zero 2050, projek berimpak tinggi ini turut menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek tenaga bersih, tindakan iklim dan pembangunan infrastruktur mampan.
“Sebagai GLC di bawah Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Jetama akan untuk terus meneroka pendekatan inovatif dalam sektor air dan tenaga, sejajar dengan visi untuk mentakrif semula pengurusan sumber secara lebih bersepadu dan lestari,” katanya. – SABAH MEDIA






