Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kapal tunda mencurigakan ditahan Maritim Malaysia di Sipitang

Read Time:1 Minute, 5 Second

SIPITANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah kapal tunda yang dikesan beroperasi dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 3.0 pada jam 1.50 petang semalam.

Kapal tunda berwarna biru itu dikesan oleh anggota Bot Penggalang 24 ketika sedang menuju ke Jeti Petronas Chemical Fertiliser Sabah, Sipitang. 

Pemeriksaan lanjut menemukan beberapa pelanggaran serius terhadap Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuklah gagal mengemukakan dokumen kapal lengkap; berlayar tanpa Ketua Jurutera dan tiada perlindungan insurans.

Selain itu, kesalahan lain tiada perjanjian kru; buku log pegawai tidak dikemas kini serta gagal mempamerkan sijil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kapal tunda tersebut kemudian diiringi ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut oleh Seksyen Siasatan Maritim Malaysia.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros menegaskan bahawa tindakan tegas diambil bagi memastikan keselamatan pelayaran sentiasa berada pada tahap terbaik serta mengelakkan risiko kemalangan di laut.

“Maritim Malaysia komited memperkukuhkan penguatkuasaan khususnya di kawasan industri dan laluan perdagangan yang berisiko tinggi,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 bagi membantu Maritim Malaysia mengekalkan keselamatan perairan negara. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

LEAVE A RESPONSE