Read Time:1 Minute, 24 Second
PENAMPANG: Usaha memelihara bahasa Timugon Murut, yang bermula lebih dua dekad lalu, kini memasuki fasa baharu dengan pelancaran aplikasi Kamus Webonary Timugon Murut.
Pelancaran aplikasi digital ini diadakan sempena Malam Kebudayaan Persidangan Pendidikan Orang Asal Malaysia Ketiga 2025 (MIPCE 3) di J Borneo Native Village, di sini, pada 13 Disember lalu, sekali gus usaha pemeliharaan bahasa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Malam Kebudayaan MIPCE 3, Rita Lasimbang, berkata penghasilan kamus tersebut adalah hasil perjalanan panjang yang bermula dari kerja lapangan, pengumpulan data dan penulisan manual, sebelum akhirnya dipersembahkan dalam bentuk digital.
Menurut beliau, kamus versi fizikal pada awalnya dibangunkan oleh pasangan pekerja lapangan Summer Institute of Linguistics (SIL), Richard dan Kielo Brewis, yang terlibat secara langsung dari 1983 hingga 1997.
“Selepas mereka kembali ke Finland, saya meneruskan usaha ini dari 1997 hingga 2003. Ketika itu, KLF baru ditubuhkan dan kami meneruskan pengumpulan bahan,” katanya.
Usaha tersebut turut melibatkan anggota komuniti Timugon, Silipah Majius, yang pernah bekerjasama dengan pasangan Brewis dan kemudian berkhidmat bersama KLF selama enam tahun.
Secara keseluruhan, lebih 20 tahun dihabiskan untuk menyiapkan manuskrip kamus ini, tidak termasuk tempoh awal mempelajari bahasa Timugon sebelum 1983.
Namun, cabaran sebenar muncul apabila manuskrip siap dan dana diperlukan untuk mencetaknya.
Rita berkata permohonan awal mendapatkan bantuan kewangan tidak berjaya, sebelum sokongan diperoleh daripada Kedutaan Finland di Kuala Lumpur, yang menyumbang RM55,000.
“Ketika itu, kos percetakan dianggarkan RM100,000, jadi kami masih memerlukan tambahan RM45,000,” katanya.
Tambahan dana itu akhirnya diperoleh melalui sumbangan seorang presiden majlis, membolehkan Kamus Timugon Murut–Melayu yang mengandungi 22,627 perkataan dicetak pada 2004 dan diedarkan kepada komuniti Timugon.
“Kini, kamus ini memasuki fasa baharu. Dengan Webonary, bahasa Timugon Murut boleh diakses secara lebih meluas,” katanya.






