Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kami menuntut hak bukan untuk memecah belahkan – Azrul

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Usaha dan perjuangan menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan bertujuan memecah-belahkan negara, sebaliknya untuk memperkukuh Persekutuan Malaysia secara adil dan berperlembagaan. 

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Azrul Ibrahim berkata, titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong wajar dijadikan pedoman bersama dalam mengurus isu MA63 yang sering dibahaskan secara terbuka dan memerlukan kebijaksanaan semua pihak.

Menurutnya, penegasan Baginda agar semua pihak kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia yang berteraskan perpaduan, saling menghormati dan kerjasama erat antara Sabah, Sarawak, Semenanjung serta Kerajaan Persekutuan adalah peringatan tepat pada masanya.

“Sebagai anak muda Sabah, kami menuntut hak bukan untuk memisahkan, tetapi untuk memperkukuh Persekutuan. 

“Perjuangan MA63, termasuk tuntutan Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah, perlu dilaksanakan secara berhemah dan berfakta,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Azrul berkata, pendekatan rundingan berlandaskan Perlembagaan yang dilaksanakan Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan telah membuahkan kemajuan signifikan apabila beberapa tuntutan MA63 berjaya direalisasikan.

Beliau menegaskan, usaha melengkapkan tuntutan lain masih diteruskan secara berperingkat dan penuh kesepakatan, membuktikan ketegasan tidak memerlukan retorika melampau atau hasutan.

Dalam masa sama, katanya, titah Yang di-Pertuan Agong supaya hak-hak negeri dihormati tanpa mengabaikan kepentingan negara secara keseluruhan perlu difahami secara seimbang dan matang oleh semua pihak.

“Pembangunan Sabah yang adil dan bermaruah bukan sahaja memenuhi hak negeri, malah akan menyumbang kepada kestabilan, kemajuan serta perpaduan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Pemuda Gagasan Rakyat menyeru golongan belia agar menolak politik yang memperbesarkan perbezaan pandangan dan menggantikannya dengan politik solusi yang berasaskan kebijaksanaan, integriti serta rasa tanggungjawab terhadap masa depan negara. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE