Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kami harap berkembang dan punyai jenama sendiri – Firdaus

Read Time:1 Minute, 46 Second

Oleh Eviana Mazinal

KOTA BELUD: Hanya bermodalkan RM5,000 daripada duit simpanan sendiri, sepasang suami isteri berjaya membuka perniagaan makanan dan minuman sendiri dengan harapan untuk mengembangkan perniagaan dan mempunyai jenama sendiri.

Pasangan muda Mohd Firdaus Injan, 29, dan isterinya Puteri Nuraniza Norbek, 31, tidak pernah menjangka bahawa gerai kecil di hadapan rumah mereka mampu meraih sambutan luar biasa.

Pengunjung yang tiba termasuklah yang melalui laluan riadah popular di kampung tersebut yang setiap pagi dan petang menjadi tumpuan aktiviti berbasikal, berjoging dan bersenam.

Menawarkan minuman berasaskan matcha premium, gerai yang baru berusia kurang lima bulan itu bukan sahaja memikat hati penduduk tempatan, malah turut tular dalam kalangan pengguna media sosial yang tertarik dengan gabungan rasa minuman berkualiti dan panorama Gunung Kinabalu yang menghiasi latar gerai mereka.

Menurut Firdaus, idea membangunkan perniagaan ini bermula pada Julai lalu selepas isterinya menyuarakan hasrat untuk memiliki perniagaan pastri sendiri.

“Kami ada pengalaman dalam industri makanan dan minuman, jadi saya terfikir kenapa tidak kami cipta menu sendiri?.

“Saya mula buat R&D untuk dapatkan jenis matcha terbaik dan bahan premium yang sesuai,” katanya sambil berkongsi impian untuk membina jenama matcha mereka sendiri suatu hari nanti.

Puteri menambah, perniagaan mereka bermula secara kecil-kecilan melalui media sosial dengan menawarkan penghantaran percuma, sebelum menerima tempahan untuk membuka booth di majlis-majlis keramaian.

Walaupun baru beroperasi empat bulan, usaha gigih pasangan ini telah menghasilkan pendapatan yang stabil. 

Kini mereka sedang membangunkan sebuah premis kekal di lokasi sama, sambil mengekalkan konsep pemandangan Gunung Kinabalu sebagai tarikan utama.

Perniagaan mereka turut mendapat sokongan ahli keluarga, termasuk kakak Firdaus, Nurul Anna Fadilah Injan, 33, yang aktif membuat siaran langsung di TikTok bagi mempromosikan menu dan lokasi gerai. Trekk beroperasi setiap hari dari jam 3 petang hingga 7 malam, kecuali Isnin.

Firdaus juga mengakui bahawa mereka tidak menerima sebarang bantuan keusahawanan kerajaan—bukan kerana tidak layak, tetapi kerana tidak mengetahui tentang kewujudan program tersebut.

“Saya hanya tahu selepas membaca artikel tentang pengusaha kedai kopi di kampung sebelah yang dapat bantuan Tunas Usahawan Belia Bumiputera. 

“Saya harap hebahan tentang program sebegini diperluaskan supaya peniaga kecil macam kami tidak tercicir,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE