Read Time:2 Minute, 5 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan bahawa kegagalan seorang guru memulangkan dengan segera dompet yang hilang milik rakan sekelas Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dipercayai menyumbang kepada tragedi yang menimpa Zara.
Ibu kepada pelajar A, dalam penyataan saksinya, mendakwa bahawa sekiranya guru berkenaan, Cikgu Rohayati, ada rasa empati pada pelajar dan segera menyerahkan dompet tersebut kepada pemiliknya, kejadian Zara ditemukan tidak sedarkan diri di bawah blok asrama mungkin dapat dielakkan.
“Pada awal pagi tersebut, Cikgu Rohayati memberitahu pelajar A yang dompet pelajar yang kehilangan itu telah dijumpai di bangunan akademik oleh pelajar lain. Perbuatan Cikgu Rohayati yang tidak memulangkan segera dompet pelajar terbabit kemungkinan telah menyebabkan malapetaka yang besar terhadap arwah Zara yang dituduh mencuri,” katanya.
Menurut saksi, Cikgu Rohayati telah menyuruh Ketua Blok untuk mengejutkan pelajar A dan mengarahkan pelajar A untuk datang berjumpanya pada seawal jam 3 pagi di kawasan arwah Zara ditemukan jatuh.
“Cikgu Rohayati memberi dompet pelajar terbabit pada pelajar A untuk diserahkan kepada pelajar terbabit.
“Namun Cikgu Rohayati memarahi pelajar terbabit sewaktu di kelas dan menafikan ada kena mengena dengan dompet tersebut.
“Cikgu Rohayati menyifatkan pelajar A sebagai ‘anjing’ yang tidak patut dilayan dengan baik,” katanya sambil menambah perbuatan menipu ini menyebabkan integriti kenyataan anaknya diragui.
Saksi berkata perbuatan Cikgu Rohayati amatlah bertentangan dengan sifat seorang pendidik dan menjatuhkan martabat sebagai seorang tenaga pengajar di sekolah agama.
Tambahnya lagi, Aunty Linah mengakui Cikgu Rohayati berada di tempat kejadian pada awal pagi itu namun pegawai penyiasat memaklumkan bahawa Cikgu Rohayati tidak mengaku berada di tempat kejadian pada awal pagi itu.
Menurut saksi lagi, sekiranya ketua warden, Ustaz Azhari, memberi maklum balas segera terhadap aduannya pada malam tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya, kejadian Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama mungkin dapat dielakkan.
“Ustaz Azhari tidak respon kepada text telegram saya pada jam 10.28 malam tarikh 15 Julai 25 iaitu pada malam pelajar A membuat panggilan terhadap saya menceritakan banyak kes kehilangan yang berlaku di asrama.
“Saya percaya kalaulah Ustaz Azhari respon terhadap aduan saya pada malam itu dan mengambil tindakan sewajarnya, insiden Zara mungkin boleh dielakkan,” katanya.
Saksi turut memaklumkan bahawa Cikgu Miswati juga tidak respon terhadap telegram yang beliau hantar pada 15 Julai jam 10.16 malam.
Semua ‘screenshot’ aduan beliau telah dilampirkan sebagai bukti di mahkamah dan ditandakan sebagai ekshibit.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMKA Tun Datu Mustapha sekitar jam 3 pagi pada 16 Julai, 2025 dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.






