Read Time:1 Minute, 38 Second
KUALA LUMPUR: Pesta Kaamatan terus diperkasa sebagai tarikan utama pelancongan Sabah apabila negeri itu memperhebat promosi pada MATTA Fair di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Lembaga Pelancongan Sabah (STB) tampil dengan penyertaan besar melibatkan 37 ejen pelancongan dari negeri itu yang mengendalikan lebih 100 reruai, menawarkan pelbagai pakej bagi merangsang tempahan awal, khususnya sempena musim Kaamatan pada Mei ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata Kaamatan merupakan aset budaya penting yang mampu menarik pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri itu.
“Kaamatan antara kekuatan utama Sabah dalam sektor pelancongan. Ia bukan sahaja perayaan budaya masyarakat pribumi, tetapi juga produk pelancongan yang menawarkan pengalaman autentik kepada pelawat,” katanya.
Menurutnya, kehadiran Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, pada majlis pelancaran video jemputan Kaamatan di Pavilion Sabah hari ini turut menyerlahkan kepentingan festival menuai itu sebagai identiti budaya negeri.
Terdahulu, Jafry melancarkan penjenamaan semula Explore Sabah yang bertujuan memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan berdaya saing.
Inisiatif tersebut menampilkan keunikan Sabah termasuk tarikan alam semula jadi bertaraf dunia serta pengalaman pelancongan berasaskan komuniti, selain pakej khas yang disusun bersempena Kaamatan.
Kaamatan yang disambut sepanjang Mei setiap tahun menampilkan pelbagai acara seperti persembahan kebudayaan, ritual tradisi, makanan tempatan serta pertandingan Unduk Ngadau, dengan kemuncak pada 30 dan 31 Mei.
Dalam pada itu, Sabah turut menyasarkan untuk menukar minat pengunjung kepada tempahan sebenar sepanjang MATTA Fair yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir 5 April ini.
Antara pakej yang ditawarkan termasuk destinasi popular seperti Kundasang dengan pemandangan Gunung Kinabalu, Semporna bagi percutian pulau dan aktiviti selaman, serta pelbagai pengalaman alam semula jadi dan hidupan liar.
Turut dipaparkan ialah pratonton kempen Visit Sabah 2027 sebagai gambaran awal hala tuju jangka panjang pelancongan negeri.
Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Josie Lai; serta Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit.






