Read Time:1 Minute, 1 Second
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Jurulatih Skuad B-23 Kebangsaan, Juan Torres Garrido secara rasmi dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu Sabah FC.
Pelantikan pengendali kelahiran Sepanyol itu diumumkan Pengurus Sabah FC, Mohd Arziz Afizy, di sini pada Rabu.
Menurut Arziz, Juan Torres mengambil alih tugas daripada Alto Linus yang sebelum ini menggalas peranan sebagai Pemangku Ketua Jurulatih susulan perletakan jawatan Jean-Paul de Marigny pada Disember lalu.
Alto kini kembali menjalankan tugas sebagai Penolong Ketua Jurulatih.
“Juan Torres akan memulakan tugas rasminya dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas, Sabtu ini,” katanya.
Arziz berkata, pengalaman Juan Torres mengendalikan Skuad B-23 negara serta pengetahuannya mengenai Liga Malaysia menjadi antara faktor utama pemilihannya.
Beliau percaya kehadiran jurulatih baharu itu mampu membawa perubahan positif kepada pasukan, khususnya dalam usaha memperbaiki kedudukan Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.
“Fokus utama kami juga adalah untuk mara ke perlawanan akhir MFL Challenge Cup 2025-2026,” katanya.
Dalam pada itu, Arziz turut berharap para pemain dapat memberi komitmen sepenuhnya, menunjukkan disiplin tinggi serta cepat menyesuaikan diri dengan pendekatan latihan yang diperkenalkan.
“Dengan semangat berpasukan yang kukuh dan kesungguhan semua pihak, saya yakin Sabah FC mampu mencapai keputusan yang lebih baik selepas ini,” katanya.






