Read Time:1 Minute, 22 Second
KOTA KINABALU : Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sedang memberikan sokongan emosi kepada guru dan murid yang terlibat dalam insiden kereta api di laluan Tenom–Pangi baru-baru ini bagi memastikan kesejahteraan mereka terus terpelihara.
Pengarah JPNS, Datuk Raisin Saidin berkata, pihaknya bersyukur kerana semua individu yang terlibat dalam kejadian itu selamat tanpa sebarang kecederaan serius.
Menurutnya, seramai 12 guru termasuk kakitangan sokongan sekolah terlibat dalam kejadian berkenaan dan kini sudah kembali menjalankan tugas seperti biasa.
“Kita bersyukur kerana semua guru, murid dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) selamat. Buat masa ini, proses memberi sokongan emosi kepada guru-guru yang terlibat sedang dilaksanakan.
“Walaupun melalui pengalaman mencemaskan, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah terbabit tetap berjalan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Raisin berkata, setakat ini tiada guru dilaporkan mengalami trauma sehingga tidak mampu meneruskan tugas kerana semua mereka sudah kembali berada di sekolah.
Mengulas mengenai isu pengangkutan, Raisin berkata, kereta api merupakan satu-satunya pengangkutan utama yang digunakan oleh guru dan penduduk kampung di kawasan berkenaan.
“Laluan itu memang bergantung kepada kereta api. Bukan sahaja guru, malah penduduk kampung juga menggunakan pengangkutan yang sama.
“Jika perkhidmatan kereta api boleh digunakan semula, maka ia akan terus digunakan kerana tiada pilihan lain selain menggunakan motosikal atau troli di laluan tersebut,” katanya.
Beliau turut memaklumkan hasrat untuk melawat kawasan berkenaan, namun lawatan itu belum dapat dilaksanakan kerana perkhidmatan kereta api masih belum dibaiki sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan cadangan memindahkan sekolah atau menukar penempatan guru tidak timbul kerana sekolah berkenaan amat diperlukan oleh komuniti setempat.
“Sekolah itu kecil tetapi sangat penting kepada penduduk kampung di kawasan berkenaan,” katanya. – SABAH MEDIA






