Read Time:1 Minute, 53 Second
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah berada dalam tahap siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya gelombang kedua bencana di negeri ini.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata tinjauan di Depoh Bekalan Bencana Kota Kinabalu mendapati tahap persediaan di lapangan berada pada tahap terbaik bagi memastikan segala bantuan dan keperluan asas dapat digerakkan segera sekiranya berlaku bencana.

“Alhamdulillah, saya berkesempatan meninjau depoh bekalan bencana di Kota Kinabalu bagi melihat persediaan kita dalam menghadapi kemungkinan gelombang kedua bencana di Sabah.
“Antara barangan yang telah disediakan termasuk keperluan asas seperti makanan, peralatan elektrik, selimut, bateri, komputer riba serta kit bencana lengkap yang mengandungi keperluan kebersihan diri dan kelengkapan asas lain.
“Jika dahulu kita edarkan barangan satu demi satu, kini kita telah wujudkan kit bencana yang lengkap. Dalam satu kit, ada makanan segera, keperluan asas dan juga bahan untuk anak-anak seperti buku mewarna dan pensel warna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DKSB) Negeri Sabah, di sini.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua NGO dan syarikat korporat agar menyalurkan bantuan melalui JKM atau Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi memastikan koordinasi bantuan lebih tersusun dan mengelak pertindihan.
“Sebab kadang-kadang apa yang berlaku ialah apabila benda itu tidak diselaraskan dengan baik, kemungkinan kadang-kadang berlaku lambakan barang-barang yang tidak diperlukan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kesiapsiagaan bencana di Sabah bukan bersifat sementara sebaliknya melibatkan koordinasi berterusan antara agensi pusat, negeri dan daerah termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta NGO.
“Kita bersedia 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Bencana tidak mengenal masa sama ada musim pilihan raya atau tidak, persiapan mesti sentiasa berjalan,” katanya.
Beliau juga memaklumkan di bawah kerajaan Madani, hampir RM3.2 bilion diperuntukkan setiap tahun bagi menampung pelbagai bantuan kebajikan di seluruh negara.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri, Timbalan Pengarah Persekutuan JKPA Sabah, Roshayati Omar, serta pegawai-pegawai kanan jabatan.






