Read Time:2 Minute, 11 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah telah memeriksa sebanyak 409,233 kenderaan dalam tempoh Januari hingga September lalu menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negeri.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata daripada jumlah itu, 39,730 kenderaan telah diambil tindakan, manakala 88,636 notis saman dikeluarkan. Sebanyak 198 kenderaan turut disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Antara kesalahan utama yang direkodkan termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, menghalang kenderaan lain memotong, memotong barisan serta menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Pengarah JPJ Sabah Bersama Media 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesalahan tertinggi melibatkan lesen memandu tiada atau tamat tempoh sebanyak 14,724 kes, diikuti lesen vokasional tamat tempoh (2,748 kes), lesen kenderaan motor tamat tempoh (12,689 kes) dan tiada insurans sah (9,375 kes).
Katanya, penguatkuasaan dijalankan secara berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan trafik di negeri ini.
Selain itu, JPJ Sabah turut melaksanakan penguatkuasaan Speed Limitation Device (SLD) bagi kenderaan perdagangan bermula 1 Oktober lepas, selaras dengan usaha jabatan itu memastikan keselamatan pengguna jalan raya dipertingkatkan.
Sehingga 4 Oktober, sebanyak 614 kenderaan perdagangan telah diperiksa, dengan 49 kenderaan dikesan tidak memasang peranti SLD seperti yang diwajibkan. JPJ akan mengeluarkan notis kepada 114 kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.
Pelaksanaan SLD dilaksanakan dalam tiga fasa bermula dengan pengesahan kefungsian peranti pada 1 Oktober, pengaktifan SLD dalam sistem Electronic Control Unit (ECU) pada 1 Januari 2026, dan pemasangan peranti SLD secara retrofit yang disahkan JPJ bermula 1 Julai 2026.
Mohd Harris menjelaskan bahawa langkah itu merupakan antara tindakan proaktif JPJ bagi menangani peningkatan kes kemalangan maut yang membabitkan kenderaan berat seperti lori dan bas.
“Sebahagian besar kemalangan maut di jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan yang bergerak melebihi had laju. Dengan pelaksanaan SLD, JPJ dapat memastikan kenderaan ini tidak dipandu secara berbahaya sekali gus mengurangkan risiko nahas jalan raya,” katanya.
Dalam masa yang sama, JPJ Sabah turut melaksanakan Operasi Khas (OPS LUXURY) bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap kenderaan mewah yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya melibatkan lesen kenderaan motor tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans sah.
Setakat 5 September lalu, sebanyak 17 kenderaan mewah pelbagai jenama dan model termasuk Bentley Continental, Lexus, Range Rover, Mercedes-Benz, Ford Mustang, Nissan Skyline, Land Rover Defender, Toyota Vellfire dan BMW 320i telah dikenakan tindakan, termasuk disita di bawah Seksyen 64(1) akta berkenaan.