Read Time:1 Minute, 45 Second
KOTA KINABALU : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah akan memberi tumpuan terhadap sembilan kesalahan utama dalam operasi khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 yang bermula semalam sehingga 29 Mac ini.
Pengarah JPJ Sabah Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi itu turut dilaksanakan bersama Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’.

Beliau berkata, sasaran sembilan kesalahan utama itu adalah bertujuan untuk memantau kelancaran perjalanan pengguna jalan raya dengan lebih selamat selain mahu memastikan sasaran untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian dapat dicapai.
“Antara sembilan kesalahan utama adalah tidak mematuhi had laju; tidak mematuhi isyarat lalu lintas (lampu merah); memotong di garis berkembar dan memandu di lorong kecemasan.

“Selain itu, kesalahan lain termasuklah tidak memakai tali pinggang dan topi keledar; memotong barisan; menggunakan telefon bimbit ketika memandu; membawa lebih muatan; dan membawa muatan secara berbahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam operasi khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 di Terminal Bas Inanam di sini pada Isnin.
Harris berkata, JPJ turut melaksanakan sekatan pemanduan kenderaan perkhidmatan barangan selama empat hari.
Beliau berkata, sekatan itu akan dilaksanakan pada 19 dan 20 Mac (Khamis dan Jumaat) serta pada 28 dan 29 Mac (Sabtu dan Ahad).

Menurutnya, pemeriksaan teknikal turut dijalankan terhadap kenderaan perkhidmatan awam khususnya khususnya bas di terminal yang ditetapkan bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.
“Pemeriksaan ini melibatkan aspek penggunaan tayar mengikut piawaian kefungsian sistem brek kenderaan dalam keadaan baik; keadaan kenderaan seperti lampu, cermin pembalik cahaya(reflector) dan lain-lain berfungsi dengan baik serta pemasangan dan pengawasan ‘Speed Limitation Device (SLD) pada bas ekspress dan persiaran,” katanya.
Dalam pada itu, Harris berkata, sebanyak 28,281 buah kenderaan telah diperiksa selain 3,588 buah kenderaan diambil tindakan sepanjang operasi hari raya pada tahun lalu yang bermula pada 24 Mac 2025 sehingga 8 April 2025.
Beliau berkata, dalam operasi itu juga sebanyak 3,778 keping notis saman telah dikeluarkan dan 20 buah kenderaan telah disita.
“Pada Ops Khas Sempena Perayaan HRA 2026 ianya akan melibatkan seramai 286 orang anggota Penguat kuasa dari semua Bahagian JPJ Negeri termasuk di JPJ Cawangan dan Stesen Penguat kuasa,” katanya. – SABAH MEDIA






