Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

JPJ Sabah gempur kenderaan perdagangan langgar peraturan, tindakan tegas tanpa kompromi

Read Time:1 Minute, 29 Second

PAPAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah melaksanakan Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di sepanjang Jalan Pan Borneo Papar–Jalan Bukit Manggis Benoni, termasuk kawasan berhampiran Hap Seng Quarry Sdn Bhd.

Antara kenderaan berat yang diperiksa semasa operasi itu. – Foto ihsan JPJ Sabah

Operasi ini adalah susulan aduan orang awam mengenai pergerakan lori berat yang melanggar peraturan serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi yang dijalankan dari 20 hingga 23 Januari 2026 itu akan diteruskan secara berterusan dan bersasar terhadap pemandu serta pemilik kenderaan perdagangan yang melanggar undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334).

“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan serius dan berisiko tinggi telah dilakukan. Tindakan penguatkuasaan diambil termasuk pengeluaran saman, sitaan kenderaan dan tindakan mahkamah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Antara kenderaan berat yang diperiksa semasa operasi itu. – Foto ihsan JPJ Sabah

Menurut beliau, fokus pemeriksaan meliputi kesalahan utama seperti lebih muatan, muatan panjang dan berbahaya, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, insurans tamat tempoh atau tidak sah, Lesen Memandu Malaysia (LMM) tamat tempoh atau tiada, ketiadaan Lesen Vokasional (GDL) serta sijil perakuan pemeriksaan berkala yang tamat tempoh.

Beliau berkata, sepanjang tempoh operasi tersebut, sebanyak 627 kenderaan diperiksa, 10 kenderaan ditimbang, 59 kenderaan diambil tindakan, 88 notis saman dikeluarkan dan dua kenderaan disita.

“Jumlah kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM12,150, manakala satu kes lebih muatan telah dibawa ke mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Harris menegaskan JPJ Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha atau pemandu yang mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan aspek keselamatan jalan raya.

“Operasi ini akan diteruskan dan JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada,” tegasnya.

LEAVE A RESPONSE