Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Jonnybone yakin pertahan kerusi DUN Telupid

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh J EVACHEL JOHN

TELUPID: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telupid, Datuk Jonnybone Kurum yakin mampu mempertahankan kerusi itu walaupun berdepan persaingan sembilan penjuru, termasuk daripada calon yang mempunyai pertalian keluarga.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, walaupun sentimen kekeluargaan wujud dalam kalangan pengundi, rakyat Telupid kini lebih matang menilai calon berdasarkan pencapaian dan rekod perkhidmatan, bukan sekadar hubungan kekeluargaan.

“Tidak dinafikan calon-calon yang bertanding bagi kerusi DUN Telupid hampir semuanya mempunyai kaitan kekeluargaan. Ini menjadi cabaran bagi saya kerana sentimen kekeluargaan memang boleh mempengaruhi pola undi.

“Namun, saya yakin pengundi tetap menilai berdasarkan pencapaian dan usaha yang telah saya lakukan di Telupid, bukan sekadar hubungan keluarga,” katanya ketika dihubungi selepas proses penamaan calon, pada Sabtu.

Berkecimpung hampir 20 tahun dalam politik, beliau menimba pengalaman daripada bekas ADUN Telupid, Datuk Seri Panglima Michael Asang, dan melalui pelbagai jawatan termasuk pemaju mukim dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, yang memberinya kefahaman mendalam tentang keperluan akar umbi.

Keyakinannya untuk mempertahankan kerusi juga berasaskan pencapaian nyata sepanjang penggal, termasuk penyerahan lebih 500 geran tanah serta penyukatan tanah Anak Negeri Sabah di empat kampung.

“Telupid juga sudah memiliki Jabatan Tanah sendiri sejak 2023 dan Majlis Daerah Telupid. Turut direalisasikan ialah pembinaan Bangunan Serbaguna Telupid bernilai RM5 juta yang kini dalam proses pembinaan,” katanya.

Menurutnya, kesemua inisiatif tersebut adalah bukti jelas bahawa pembangunan di Telupid berlaku secara konkrit, bukan sekadar janji politik.

“Berdasarkan kerja keras dan usaha yang telah dilakukan, saya yakin pengundi di Telupid akan terus mengekalkan saya sebagai wakil rakyat di bawah GRS. Saya berharap pengundi memberi mandat sekali lagi bagi meneruskan perjuangan membangunkan Telupid,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah kali ini, beliau akan bersaing dengan calon-calon lain iaitu Jamin Jamri (Perikatan Nasional); Simah Binti Matusip (Warisan); Pagrios @ Petrus Zabang (Parti Bangsa Malaysia); Michel Alok (Parti Impian Sabah); Felix Joseph Saang (Upko); Nilis Joseph (KDM); Jikmariya Muran (Star); dan Benedict Asmat (BN).

Pada PRU Sabah Ke-16 Jonnybone menang dengan memperoleh 2,266 undian ketika menentang pencabar terdekatnya calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang yang mendapat 1,581 undi.

Turut bertanding pada masa itu ialah calon BN, Abdul Wahab Abdul Ghani (1,389 undi); calon Parti Cinta Sabah (PCS), Jingkoi Luna (68 undi); dan calon Parti Liberal Demokratik (LDP), Takun Ladas @ Mohd Johan Sualan Madinal (54 undi).

Bekas Adun Labuk Datuk Seri Panglima Michael Asang (memakai kemeja biru) hadir memberi sokongan semasa penamaan calon.

LEAVE A RESPONSE