Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

JKR Sabah uji teknologi ‘Ahntech VTX–Super’ untuk tampalan jalan

Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Kajian penggunaan ‘Ahntech VTX–Super Fiber Reinforced All Weather Cold Mix Asphalt’ kini sedang dilaksanakan di Sabah menerusi projek perintis bagi menilai keberkesanan bahan itu dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan, khususnya menampal lubang (pothole).

Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sektor Jeraya, Baharuhom KK Sogon berkata, setakat ini JKR telah memulakan percubaan penggunaan campuran aspal berasaskan gentian (fiber mix asphalt) itu di beberapa lokasi sebagai langkah awal penilaian teknikal.

“Untuk fiber mix aspal ini, kita sudah buat percubaan bagi kerja-kerja tampalan pothole yang sedang dilaksanakan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JKR Sabah Tahun 2025 di sini pada Khamis.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Baharuhom berkata, pelaksanaan seterusnya bergantung kepada hasil penilaian dan laporan teknikal yang sedang disediakan.

“Jika keputusan menunjukkan campuran aspal tersebut sesuai dengan keadaan cuaca serta persekitaran di Sabah, ia berpotensi untuk digunakan secara lebih meluas.

“Berdasarkan keputusan nanti, kita akan buat penilaian. Kalau memang sesuai dengan kesesuaian di Sabah, kita akan gunakan,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setakat ini ia masih di peringkat projek perintis dan belum ada keputusan muktamad berhubung penggunaannya secara menyeluruh.

“Belum lagi dapat jawapan kerana kita baru buat projek perintis yang menggunakan bahan itu untuk kerja tampalan,” katanya.

Penggunaan teknologi campuran aspal gentian sejuk itu dilihat berpotensi meningkatkan ketahanan tampalan jalan terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu, selain membolehkan kerja penyelenggaraan dilaksanakan dengan lebih cepat dan efisien tanpa perlu menunggu keadaan kering sepenuhnya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE