Read Time:1 Minute, 12 Second
SANDAKAN: Wanita DAP Sabah meneruskan pendekatan proaktif mendekati rakyat melalui siri Jelajah Wanita DAP Sabah ke Pantai Timur dari 21 hingga 23 Oktober, bagi memperkukuh hubungan akar umbi serta memperkenalkan bakal calon parti menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Rombongan diketuai Ketua Wanita DAP Sabah, Bronica Sikula, bersama bakal calon DUN Tanjong Papat, Tang Szu Ching yang juga Ketua DAPSY Sandakan merangkap Penolong Setiausaha Organisasi DAP Sabah mengadakan lawatan ke beberapa lokasi termasuk Pasar Umum Sandakan, Kampung Pulau Berhala dan Kampung Sim-Sim.
Sepanjang program, mereka beramah mesra dengan masyarakat setempat sambil mengedarkan “Iltizam Wanita Harapan Sabah 2025” sebagai simbol komitmen terhadap pembangunan wanita dan keluarga.
Bronica menegaskan bahawa iltizam itu adalah pelan tindakan menyeluruh yang turut mencadangkan penstrukturan semula kementerian berkaitan dengan menukar namanya kepada Kementerian Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Rakyat, yang disarankan diketuai oleh seorang wanita.
Sokongan akar umbi terhadap DAP kekal kukuh, dengan kehadiran pemimpin muda seperti Tang Szu Ching disambut sebagai nafas baharu yang diyakini mampu memperkukuh legasi parti di Sandakan.
Di Tawau, program diteruskan dengan aktiviti walkabout di Pasar Tanjung bersama bakal calon DUN Sri Tanjung, Philip Yap Wui Lip, yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Sabah merangkap Ahli Majlis Perbandaran Tawau.
Rombongan turut menghadiri Majlis Ramah Mesra di Kampung Saddani bagi mendengar secara langsung aspirasi dan isu dihadapi penduduk setempat.
Turut hadir, Naib Pengerusi DAP Sabah merangkap Ketua Wanita Pakatan Harapan, Datuk Jannie Lasimbang bersama barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Wanita DAP Sabah.