Read Time:1 Minute, 18 Second
KOTA KINABALU : Masyarakat digesa agar tidak berdiam diri apabila berdepan kes pengabaian atau penderaan kanak-kanak, sebaliknya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, ia adalah sebagai antara usaha bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan golongan muda terjaga.
Katanya, ia termasuklah melaporkan kes berkaitan melalui Talian Kasih 15999 atau aplikasi WhatsApp di talian 019-2615999, yang beroperasi 24 jam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Advokasi Kanak-Kanak: Dari Kesedaran ke Perlindungan yang dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Sabah dengan kerjasama Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak Kota Kinabalu di Maktab Sabah, di sini pada Sabtu.
Arif berkata, program itu bertujuan bagi memperkasa murid dan ibu bapa dengan pengetahuan mendalam mengenai isu keselamatan, disiplin, jenayah buli, keselamatan siber, kesihatan mental dan hak kanak-kanak.
Katanya, penglibatan aktif ibu bapa amat penting sebagai rakan strategik sekolah bagi membentuk persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
“Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja menyampaikan maklumat, tetapi turut membina kesedaran dan tanggungjawab sosial dalam kalangan murid serta ibu bapa,” katanya.

Selain itu katanya, program itu turut memberi pendedahan tentang keselamatan jenayah, buli, rokok, vape, dadah serta langkah pencegahan salah laku.
Menurutnya, ia juga memupuk motivasi, disiplin diri dan jati diri positif murid, sambil mengukuhkan kerjasama antara sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi penguatkuasaan melalui sesi perkongsian dan forum interaktif.
Tambahnya, pelaksanaan inisiatif seperti ini akan melahirkan generasi muda yang lebih berdaya tahan, berdisiplin dan bermotivasi tinggi dalam menghadapi cabaran sosial dan dunia digital masa kini. – SABAH MEDIA






