Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Jangan ambil risiko tukar Kerajaan, kestabilan politik penting untuk pembangunan – Masidi

Read Time:1 Minute, 22 Second

RANAU: Rakyat diingatkan agar tidak kerap menukar kerajaan kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan pembangunan dan pencapaian negeri, kata Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi yang juga calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, menegaskan bahawa perubahan kerajaan yang berulang akan menyukarkan pelaksanaan inisiatif dan program yang telah dirancang.

“Setiap kali kerajaan bertukar, hala tuju negeri menjadi sukar ditentukan, dan masa depan kita turut tidak terjamin, sekali gus menjejaskan pencapaian yang telah diperoleh sehingga matlamatnya tidak tercapai,” katanya.

Beliau menambah, kestabilan politik di bawah GRS telah memastikan ekonomi Sabah kukuh, dengan rezab negeri kini mencecah RM8.6 bilion.

Menurutnya lagi, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk insurans percuma, bantuan RM300 kepada ketua isi rumah, serta banyak lagi program untuk kesejahteraan rakyat.

Masidi juga menekankan bahawa setiap generasi kini dan akan datang akan terus menikmati manfaat inisiatif yang diperkenalkan oleh GRS.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah menempuhi pelbagai cabaran, termasuk pandemik COVID-19 dan cubaan menjatuhkan kerajaan, namun tetap mencapai prestasi yang baik.

“Kerajaan GRS juga akan menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri seperti University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS),” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat memberikan sokongan penuh kepada wakil DUN tempatan iaitu DUN Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, dan DUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, supaya pelbagai rancangan pembangunan dapat dilaksanakan dan memberi manfaat besar kepada rakyat.

Masidi menekankan pentingnya perpaduan dan toleransi walaupun terdapat perbezaan pendapat.

“Kita orang Ranau, oleh itu janganlah memburukkan orang kerana politik. Marilah kita berbuat baik, supaya dipandang tinggi dan disanjungi oleh semua lapisan masyarakat,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE