Read Time:1 Minute, 4 Second
TUARAN: Jambatan ‘Low Level Crossing’ (LLC) di kilometer satu Jalan Tamparuli Lama ditutup bermula hari ini bagi memberi laluan kepada pemeriksaan struktur jambatan berkenaan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan sementara itu adalah langkah keselamatan bagi memastikan keadaan jambatan sentiasa berada pada tahap selamat untuk pengguna jalan raya.
“Untuk makluman, jambatan LLC di KM 1 di Jalan Tamparuli Lama ditutup pada hari ini bermula jam 6 petang tadi sehingga dimaklumkan kelak.
“Penutupan ini dilakukan adalah untuk memberi laluan kepada pemeriksaan struktur jambatan tersebut,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa.

Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi semua arahan dan papan tanda keselamatan yang dipasang bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Sebagai langkah alternatif, JKR menasihatkan pemandu untuk menggunakan Jalan Bontoi-Tamparuli atau Jalan Kota Kinabalu-Kudat sebagai laluan sementara bagi meneruskan perjalanan mereka.
“Segala kesulitan yang timbul sepanjang tempoh penutupan jambatan ini amat dikesali dan pihak JKR Tuaran memohon kerjasama semua pihak untuk berhati-hati semasa melalui kawasan berdekatan,” tambah kenyataan itu lagi.
Jambatan berkenaan berfungsi sebagai laluan alternatif utama kepada penduduk kampung, peniaga dan pengguna jalan raya terutama ketika banjir atau ketika jalan utama lain mengalami kesesakan atau gangguan.
Walaupun ada jambatan gantung atau jambatan alternatif yang dibina, LLC tetap penting sebagai akses harian bagi kenderaan ringan. – SABAH MEDIA






