Read Time:1 Minute, 18 Second
TENOM : Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Jamawi Jaafar, menegaskan komitmennya untuk membawa agenda pembangunan lebih tersusun di kawasan berkenaan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-17.
Beliau berkata empat daripada lapan aku janji dalam manifestonya telah mendapat isyarat persetujuan awal daripada Perdana Menteri, dan akan diperhalusi sekiranya PH memenangi kerusi tersebut.
“Beberapa cadangan telah menerima signal positif daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“Jika kita diberi kemenangan, perkara ini akan dilaksanakan demi kesinambungan pembangunan Melalap, termasuk pekan, perniagaan dan perumahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Rahmah Mesra YAB PM Sayang Sabah bersama pimpinan Masyarakat dun Melalap disini, hari ini.
Jamawi, yang juga dikenali melalui penglibatan aktifnya di media sosial dan sering berkongsikan input mengenai pertanian berkata pendekatan digital membantu beliau mendekati pengundi luar bandar, khususnya mereka yang terlibat dalam bidang pertanian.
“Ramai masyarakat mengenali saya melalui media sosial dan mengikuti kursus pertanian dalam talian yang saya anjurkan. Ia membantu mereka meningkatkan pendapatan. Prinsip saya mudah kita bukan hanya beri ikan, tetapi beri pancing supaya mereka dapat berdikari,” katanya.
Mengulas sokongan belia, Jamawi berkata beliau memperuntukkan satu jam setiap malam untuk sesi siaran langsung bersama pengikut di platform AP dan TikTok, selain mengadakan pertemuan kecil secara santai.
“Anak muda lebih dekat dengan media sosial. Pendekatan ini membolehkan kami berinteraksi dengan lebih berkesan. Ada pengikut yang menghasilkan lagu-lagu kreatif sebagai hiburan politik, dan itu menunjukkan keterlibatan generasi muda semakin meningkat,” tambahnya.
Jamawi turut merayu pengundi agar memberi peluang kepadanya melaksanakan misi pembangunan serta agenda belia di Melalap. – SABAH MEDIA






