Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Jalan utama kampung PPH Karamunting dinaik taraf, jamin keselamatan dan keselesaan penduduk

Read Time:1 Minute, 17 Second

SANDAKAN : Impian penduduk Kampung PPH Karamunting untuk memiliki laluan utama yang selesa akhirnya menjadi kenyataan apabila jalan utama di kampung itu siap dinaik taraf daripada jalan berlumpur kepada jalan konkrit.

Projek berimpak tinggi itu dilaksanakan hasil inisiatif Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karamunting, George Hiew Vun Zin, selepas menerima aduan daripada Pengerusi JKKK Kampung PPH Karamunting, Jeffrydin Usad, mengenai keadaan jalan yang membahayakan penduduk terutama ketika musim hujan.

Menurut George, keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap tindakan beliau sebagai pemimpin.

“Laluan ini digunakan setiap hari oleh penduduk termasuk pelajar sekolah dan warga emas. Apabila jalan berlumpur, risiko terjatuh dan kemalangan meningkat — sebab itu kami terus bertindak segera,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke tapak projek itu.

Beliau berkata, selepas menerima maklum balas daripada JKKK, beliau menyalurkan peruntukan khas bagi pembelian batu kerikil dan bahan binaan untuk kerja naik taraf yang dilaksanakan secara gotong-royong bersama penduduk kampung.

“Kita tidak tunggu lama. Dengan bantuan Ketua Kampung, JKKK dan penduduk, kerja-kerja dilakukan secara bergotong-royong. Inilah semangat kebersamaan yang perlu kita pupuk,” katanya.

George turut turun padang meninjau keadaan semasa projek itu bersama Ketua Kampung dan ahli JKKK, selain menyampaikan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan usaha berkenaan.

Menurut beliau, projek menaik taraf jalan ini bukan sahaja menjamin keselamatan, malah memberikan keselesaan kepada penduduk untuk bergerak, ke sekolah, ke tempat kerja dan menjalankan aktiviti harian.

“Apabila masyarakat dan pemimpin saling bekerjasama, hasilnya dapat dinikmati bersama. Inilah yang kita mahu lihat — Karamunting yang lebih selesa, selamat dan bersatu,” ujarnya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE