KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan penutupan sementara jalan dan tempat letak kereta di Jalan Tugu secara berkala pada Isnin.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan itu adalah bersempena upacara menaikkan bendera ulang tahun ke-26 bandaraya Kota Kinabalu pada 2 Februari 2026.
“Penutupan tempat letak kereta di Jalan Tugu akan dilaksanakan bermula jam 1 pagi hingga 1 tengah hari pada Isnin.
“Manakala penutupan jalan pula akan dibuat secara berkala bermula jam 7 pagi hingga 1 tengah hari bagi memberi laluan kepada kelancaran penganjuran upacara tersebut,” menurut kenyataan itu di sini.
Menurut kenyataan itu lagi, langkah berkenaan diambil bagi memastikan aspek keselamatan, kelancaran trafik serta perjalanan majlis rasmi berjalan dengan teratur.
Sehubungan itu, DBKK menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas serta menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan dilaksanakan.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai demi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang awam sepanjang berlangsungnya upacara ini,” tambah kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA






