Read Time:2 Minute, 24 Second
BELURAN: Seorang ibu mengandung terpaksa dipindahkan melalui operasi udara dari Kampung Abuan, Paitan pada Ahad, selepas laluan darat terputus sepenuhnya akibat kejadian jambatan runtuh.
Pejabat Kesihatan Kawasan Beluran dalam satu kenyataan memaklumkan operasi pemindahan menggunakan Helikopter Mi-171 berjaya dilaksanakan, dari Klinik Kesihatan Abuan ke Padang Kompleks Sukan Beluran, sebelum ibu berkenaan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Beluran bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
“Alhamdulillah, ibu dan kandungan dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan stabil,” menurut kenyataan itu.
Kejayaan operasi berkenaan mencerminkan komitmen tinggi Pejabat Kesihatan Kawasan Beluran dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan ibu mengandung, selain menunjukkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan akses perkhidmatan kesihatan tidak terputus, selaras dengan prinsip ‘no one is left behind’.

Menurut kenyataan itu, jambatan besi Kampung Kumambu terputus akibat hujan berterusan dan peningkatan paras air sungai sejak 29 Januari 2026. Keadaan tersebut menyebabkan akses darat ke Kampung Abuan dan Klinik Kesihatan Abuan terputus sepenuhnya, manakala laluan sungai dikenal pasti tidak selamat untuk digunakan.
Pejabat Kesihatan Kawasan Beluran menerima makluman awal kejadian pada 30 Januari 2026, dan seorang ibu mengandung berusia 26 tahun dengan usia kandungan 34 minggu serta mempunyai faktor risiko kehamilan dikenal pasti berada di kawasan terjejas.
Walaupun ibu berkenaan berada dalam keadaan klinikal stabil dan dipantau rapi oleh pasukan kesihatan Klinik Kesihatan Abuan, hasil penilaian risiko menyeluruh mendapati pemindahan awal merupakan langkah paling selamat, bagi memastikan kesinambungan penjagaan kesihatan serta akses segera kepada rawatan kecemasan sekiranya diperlukan.
Sehubungan itu, Pejabat Kesihatan Kawasan Beluran dengan sokongan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah mengemukakan cadangan pemindahan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana Paitan.
Hasil penyelarasan pantas pelbagai agensi, permohonan Khidmat Khas Bantuan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah diluluskan, sekali gus membolehkan operasi dilaksanakan dengan segera.
Pejabat Kesihatan Kawasan Beluran turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pegawai Daerah Paitan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Paitan, Pusat Kawalan Operasi Bencana Paitan, Pejabat Daerah Paitan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah Beluran, Hospital Beluran, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta semua agensi terlibat atas kerjasama erat dan sokongan padu dalam menjayakan operasi ini.
Penghargaan khas turut diberikan kepada seluruh petugas kesihatan Klinik Kesihatan Abuan yang terus komited berkhidmat di kawasan mencabar, demi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan awam dan keselamatan pesakit sentiasa terpelihara.
“Ini bukan sekadar satu operasi pemindahan, tetapi lambang keprihatinan, kesiapsiagaan dan nilai kemanusiaan yang menjadi teras perkhidmatan kesihatan awam,” katanya.
Sementara itu, KKM dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan langkah proaktif yang diambil berjaya mengelakkan sebarang risiko yang boleh membahayakan kesihatan ibu dan kandungan.
Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan berkata langkah proaktif yang diambil mengelakkan sebarang risiko yang boleh membahayakan kesihatan ibu dan kandungan.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan kepada rakyat tanpa mengira cabaran dan keadaan, sekali gus mencerminkan kerjasama kukuh antara pelbagai agensi demi kesejahteraan masyarakat,” menurut kenyataan itu.






