Read Time:1 Minute, 42 Second
Oleh Raul G
KIULU: Jalan pertanian di Kiulu yang dibina dan ditambah baik menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi luar bandar, khususnya memberi manfaat kepada petani tempatan.
Penduduk, Joyrul Somudin dari Kampung Balabakan di sini, berkata, usaha berkenaan mula memberi kesan positif kepada komuniti setempat bagi pengurusan tanaman padi bukit dan tanaman atas air.
Katanya, dia turut menggunakan aliran air di kawasan kebun untuk membina kolam ikan sebagai sebahagian daripada aktiviti pertanian mereka selepas jalan pertanian dibuka.
“Sekarang, lebih mudah untuk kami menguruskan tanaman dan hasil selain memberi semangat kepada petani untuk menjalankan kerja harian di kebun,” katanya.
Joyrul menambah, langkah membuka jalan pertanian memberi dorongan kepada petani untuk kekal produktif dan menyokong rancangan pembangunan pertanian sedia ada.
“Kami harap usaha ini berterusan supaya kami dapat terus mengusahakan tanah dengan lebih lancar dan hasil lebih terjamin,” ujarnya.
Jalan pertanian Balabakan-Singgaron merupakan salah satu daripada 47 jalan pertanian di Kiulu yang dikenal pasti untuk kerja penambahbaikan dan naik taraf tahun ini.
Sebahagian jalan lain sudah dibuka sekali gus memberi manfaat kepada lebih 1,400 petani di Kiulu yang mengusahakan 6,680 ekar kawasan pertanian di Kiulu.
Terdahulu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, sebelum ini mengadakan mesyuarat bersama Pejabat Pertanian Daerah Tuaran dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada Mac lalu bagi menyelaras pelaksanaan inisiatif projek terbabit menerusi peruntukan dana ADUN berjumlah RM1.5 juta.
“Pembukaan jalan pertanian ini adalah sebahagian inisiatif pembangunan pertanian yang dirancang bagi memastikan petani mempunyai akses lebih baik ke kawasan kebun mereka,” kata Joniston.
Beliau menambah, inisiatif ini selaras dengan aspirasi komuniti petani yang memerlukan kemudahan asas pertanian terus dipertingkatkan, sekali gus melengkapi aktiviti pelancongan berasaskan pertanian di Kiulu.
“Usaha menaik taraf kemudahan seperti ini bukan sahaja memudahkan kerja petani, tetapi juga membuka ruang kepada pembangunan aktiviti agropelancongan yang mampu menambah pendapatan penduduk luar bandar.
“Kita mahu melihat inisiatif ini dapat diteruskan agar manfaatnya dirasai penduduk secara berterusan,” katanya.
end/
Caption:
1) Joyrul Somudin (tengah) berkongsi manfaat bersama Datuk Joniston Bangkuai (kiri) mengenai aktivitinya selepas jalan pertanian dibuka di Kampung Balabakan.






