Read Time:1 Minute, 12 Second
SANDAKAN : Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah Datuk Jaffari Waliam, terus menunjukkan komitmen mendekati rakyat melalui program lawatan mesra dan santuni masyarakat di sekitar kawasan DUN Gum-Gum di sini pada Ahad.
Program yang berlangsung di beberapa lokasi termasuk Pasar Tamu Gum-Gum itu memberi peluang kepada beliau untuk berinteraksi secara langsung dengan peniaga dan penduduk setempat
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) juga dapat meninjau sendiri keperluan serta cabaran masyarakat di kawasan tersebut.
Dalam sesi ramah mesra itu, Jaffari menggesa masyarakat agar terus memberikan sokongan padu kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkannya sebagai wadah perjuangan rakyat Sabah menuju masa depan lebih makmur dan sejahtera.
“Sokongan dan keyakinan rakyat adalah pemangkin kepada agenda pembangunan negeri.
“Saya menyeru semua masyarakat untuk terus berdiri teguh bersama GRS dalam usaha memacu Sabah ke arah yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa GRS akan terus memperjuangkan agenda pembangunan seimbang di seluruh kawasan, khususnya bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan negeri.
Kehadiran beliau disambut mesra oleh penduduk setempat yang menghargai kesudiannya turun padang mendengar sendiri suara rakyat.
Seorang penduduk, Amiruddin, berkata kehadiran pemimpin seperti Jaffari membuktikan keprihatinan GRS terhadap kesejahteraan masyarakat.
“Kami menghargai lawatan dan perhatian beliau. Ia memberi keyakinan bahawa suara kami didengar dan diambil berat,” ujarnya.
Program berkenaan diharap dapat memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat, selain menyemarakkan semangat perpaduan serta sokongan terhadap GRS menjelang pelbagai agenda pembangunan negeri.






