Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Jabatan Perhutanan Sabah pertahan gelaran juara

Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Kontinjen perbarisan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) sekali lagi membuktikan keunggulan apabila dinobatkan sebagai johan Pertandingan Perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah tahun ini.

Kejayaan itu mengekalkan reputasi jabatan berkenaan sebagai antara kontinjen terbaik dalam kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi.

Ketua pasukan, Arsiman Shah Durahman, berkata kemenangan itu hasil disiplin tinggi serta semangat berpasukan yang ditunjukkan sepanjang latihan kawad kaki.

“Pertama sekali, kami bersyukur kerana berjaya mempertahankan kejuaraan dalam kategori ini dan seluruh pasukan amat gembira dengan pencapaian ini.

“Walaupun hanya menjalani latihan kawad kaki selama tiga hari melibatkan sesi pagi dan petang, kami tetap memberikan komitmen penuh. Usaha ini akan diteruskan bagi mengekalkan prestasi sebagai juara,” katanya kepada media.

Bagi kategori sama, tempat kedua dimenangi Majlis Perbandaran Sandakan manakala tempat ketiga disandang Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah.

Sementara itu, bagi kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi, johan dimenangi Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM Sabah), diikuti Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif di tempat kedua, manakala tempat ketiga milik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Dalam kategori Pertubuhan Etnik Sabah, Persatuan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Bajau Tabawan Sabah Sandakan (SABATA) muncul juara, diikuti Persatuan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Suluk Sandakan sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi Pertubuhan Adat Gabungan Bangsa Tidung Negeri Sabah (PANTAS).

Bagi kategori Swasta atau Badan Berkanun, Kumpulan Yayasan Sabah muncul johan dengan markah keseluruhan 99 peratus, diikuti Sabah Electricity dengan 98 peratus, manakala tempat ketiga dimenangi DBKK Holdings Sdn Bhd dengan 87 markah.

Selain itu, bagi kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Bulan Sabit Merah Malaysia Kota Kinabalu menjuarai pertandingan, diikuti Kawasan Rukun Tetangga Kota Kinabalu di tempat kedua dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sabah di tempat ketiga.

Pertandingan itu turut disertai kategori institusi pengajian tinggi awam dan swasta dengan dua penyertaan, menyaksikan Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) Sabah muncul johan, manakala Unitar Kota Kinabalu di tempat kedua.

Bagi kategori sekolah pula, Kadet Koreksional Sekolah Menengah Kebangsaan Pengalat Papar dan Sekolah Kebangsaan Pangiran Siti Hafsah Karambunai masing-masing meraih tempat pertama bagi kategori sekolah menengah dan sekolah rendah.

Pertandingan perbarisan itu diadili panel yang diketuai Pegawai Waran I PAP (G1) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Azro Mat Zaki, dengan bantuan pengadil daripada Tentera Darat Malaysia, TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia serta Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Kesemua pemenang tempat pertama bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta sijil dan piala. Tempat kedua menerima RM1,300, manakala tempat ketiga memperoleh RM1,000, masing-masing bersama sijil dan piala yang disampaikan oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

LEAVE A RESPONSE