Read Time:1 Minute, 19 Second
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kenyataan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mengandungi peruntukan berkaitan pemilikan serta kawal selia minyak dan gas adalah pandangan pihak tertentu dan bukan pendirian kerajaan Sabah.
Katanya, isu berkaitan hak Sabah ke atas sumber minyak dan gas masih dalam perbincangan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Itu pendapat mereka, kita di Sabah masih berbincang mengenai perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Jumaat.
Hajiji berkata, rundingan pelaksanaan MA63 sedang berjalan dengan fokus memastikan hak serta kepentingan Sabah dapat direalisasikan melalui saluran perbincangan rasmi.
“Sekarang ini ia sedang dalam perbincangan untuk direalisasikan. Insya-Allah kita tunggu saja,” katanya.
Perdebatan itu timbul susulan kenyataan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa MA63 tidak mengandungi peruntukan mengenai pemilikan dan pengawalseliaan minyak serta gas, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi di Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Roger Chin sebelum ini berkata, perjanjian itu tidak boleh ditafsir secara sempit khususnya dalam isu minyak dan gas.
Roger, yang juga bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), berkata MA63 bukan undang-undang teknikal untuk mengawal industri tertentu, sebaliknya perjanjian asas pembentukan negara yang menentukan pembahagian kuasa dan kawalan ekonomi antara Persekutuan serta negeri pembentuk Malaysia.
Katanya, MA63 memperoleh kekuatan undang-undang melalui penggabungannya ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dipersempitkan hanya kerana tiada peruntukan literal berkaitan minyak dan gas.






