Read Time:1 Minute, 16 Second
SANDAKAN: Desakan rakyat agar isu air ditangani segera membuka jalan untuk Vivian Wong Shir Yee melangkah ke Dewan Undangan Negeri (DUN)
dengan harapan suara rakyat Sandakan dapat dibawa terus ke peringkat pembuat keputusan negeri.
Vivian yang bertanding di DUN Elopura mewakili DAP berkata, isu bekalan air, elektrik dan jalan raya adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan hanya boleh diselesaikan di peringkat DUN.
Dalam pertemuan dengan penduduk di akar umbi, katanya, rakyat sering kali menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kekerapan gangguan air yang semakin meruncing sepanjang tahun ini.
“Saya tahu rakyat sangat marah dan tidak puas hati dengan keadaan ini.
“Inilah antara sebab utama saya turun bertanding di DUN, supaya saya boleh membawa isu ini ke dalam sidang DUN kerana ia berada di bawah kuasa kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Operasi DUN Tanjung Papat, Kampung Sim-Sim, hari ini.
Vivian menegaskan keputusan bertanding di peringkat negeri bukan didorong jawatan, sebaliknya keinginan untuk memastikan pembangunan Sandakan dapat diteruskan dengan lebih berkesan.
Di kerusi DUN Elopura, Vivian bakal berdepan dengan Calvin Chong (WARISAN), Jeffrey Chung (Parti Impian Sabah), Muhammad Firdaus @ Silvester Abdullah (Perikatan Nasional), Liau Fui Fui (KDM), Wong Hon Kong (PPRS) dan calon Bebas, Lita Tan Abdullah.
Mengulas strategi kempennya, Vivian berkata, beliau memilih untuk mengelakkan kempen agresif di media sosial kerana tidak mahu menimbulkan perang maya dan risiko penyebaran berita palsu.
Sebaliknya, beliau mengutamakan kempen dari rumah ke rumah untuk memberi penjelasan terus kepada penduduk akar umbi mengenai usaha dan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.






