Read Time:1 Minute, 19 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang suami dan rakannya didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen di sini berhubung perbuatan seksual membabitkan isterinya.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Dalam kes pertama, suami berusia 35 tahun didakwa bersubahat dengan rakannya berusia 34 tahun, dalam melakukan perbuatan seks menggunakan objek terhadap wanita berusia 38 tahun, yang merupakan isterinya sendiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 23 Januari tahun ini kira-kira jam 5.45 pagi di ruang tamu sebuah rumah di Tuaran.
Suami berkenaan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, rakannya didakwa atas pertuduhan melakukan perbuatan itu sendiri, iaitu memasukkan jarinya ke dalam kemaluan wanita berkenaan pada masa dan tempat yang sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 4 Mac ini untuk pengurusan kes pra-bicara dan menolak permohonan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh selepas pihak pendakwaan mengemukakan bantahan.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis berhujah bahawa tertuduh pertama tinggal serumah dengan mangsa, manakala rakannya tinggal di kawasan yang sama dan berisiko mengganggu saksi pendakwaan sekiranya dibenarkan jaminan.
Dalam rayuan jaminan, tertuduh pertama memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai anak untuk ditanggung dan mendakwa laporan dibuat oleh isterinya kerana wanita itu mahu bercerai.
Rakannya pula memohon jaminan dengan menyatakan bahawa dia tidak tinggal di kawasan sama dan menafikan melakukan kesalahan tersebut.
Mahkamah turut menasihatkan kedua-dua tertuduh supaya melantik peguam bagi mewakili mereka sepanjang prosiding kes.






