Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Inspirasi tahun kuda perkukuh perpaduan dan kemajuan Sabah


Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Rakyat negeri ini diseru mengambil inspirasi daripada sifat kekuatan, ketahanan dan semangat tidak mudah mengalah yang dilambangkan oleh Tahun Kuda sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata, kuda melambangkan kekuatan, daya tahan, ketekunan serta keberanian untuk melangkah maju dengan penuh keyakinan.

Menurutnya, nilai-nilai tersebut wajar dicontohi dalam kehidupan seharian termasuk bekerja dengan tekun, tabah menghadapi cabaran dan terus berusaha mencapai kecemerlangan serta kemajuan.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghoa di Sabah dan di seluruh Malaysia.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar berasa bangga dengan pencapaian besar yang diraih sejak kemerdekaan, kejayaan yang terhasil daripada komitmen, ketabahan dan perpaduan rakyat daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2026 di sini pada Isnin.

Menurut beliau, walaupun rakyat berbeza kaum, budaya dan agama, terdapat lebih banyak persamaan yang menyatukan seluruh masyarakat.

Nilai-nilai bersama itulah, katanya, yang terus mengukuhkan ikatan, memelihara keharmonian serta menjadi asas kepada kemajuan bersama negeri dan negara.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk bertemu rakyat serta menyampaikan ucapan perayaan di rumah-rumah terbuka yang dianjurkan sempena sambutan berkenaan.

Katanya, amalan kunjung-mengunjung ketika musim perayaan telah menjadi budaya indah dalam kalangan rakyat Malaysia, mencerminkan semangat saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

Di bumi bertuah ini, tambahnya, setiap rakyat bebas mengamalkan tradisi dan kepercayaan masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memupuk muhibah, menghargai kepelbagaian serta menyelesaikan perbezaan dengan kebijaksanaan dan semangat persefahaman.

“Semoga Sabah dan rakyatnya terus maju dan makmur demi kesejahteraan negeri serta generasi akan datang.

“Kepelbagaian kaum, budaya dan agama merupakan kekuatan terbesar kita. Bersama-samalah kita berdiri teguh dalam solidariti dan melangkah ke hadapan sebagai satu bangsa dengan kekuatan, ketahanan dan semangat maju seperti kuda demi kemajuan Sabah,” katanya.

LEAVE A RESPONSE