KOTA KINABALU: Seorang Inspektor polis dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada lapan pertuduhan rasuah.
Hakim Elsie Primus melepas dan membebaskan Liffindy Ziubin, 45, tanpa dipanggil membela diri.
Hakim memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Liffindy.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah suapan jika sabit kesalahan.
Kesemua lapan pertuduhan itu menmenyatakan Liffindy menerima secara rasuah RM500 bagi setiap pertuduhan sebagai dorongan untuk melindungi sebuah syarikat daripada seorang individu antara Disember 2020 hingga 2021.
Liffindy diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mewakili pihak pendakwaan.





